
Loh Siew Hong, 34, dimaklumkan bahawa dia hanya boleh berjumpa tiga anaknya selama sejam hari ini dan bukan setiap hari seperti diaturkan sebelum ini.
Loh menerima surat daripada JKM Perlis kira-kira sejam sebelum tiba di rumah kanak-kanak JKM di Jitra, Kedah, lokasi anak-anaknya ditempatkan.
“Saya yang membenarkan anak-anak saya diletakkan di bawah jagaan JKM sehingga kes mahkamah saya dibicarakan.
“Saya juga menetapkan syarat bahawa saya perlu berjumpa mereka setiap hari sehingga 21 Feb. Semua ini disebut dalam laporan polis saya dan pegawai JKM bersetuju dengan syarat itu. Sekarang, mereka cakap lain pula,” katanya.
Loh akan menerima saman habeas corpus berhubung “penahanan” anak mereka oleh seorang wanita yang akan didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Feb.

Dalam pertemuan selama sejam hari ini, Loh berkata tiga anaknya, pasangan kembar perempuan berusia 14 tahun dan seorang anak lelaki berusia 10 tahun, bersungguh-sungguh berdakwah kepadanya tentang Islam.
“Anak saya suruh pergi kedai buku Hasani dan beli buku agama. Katanya saya pasti sukakan Islam.
“Saya memberitahunya: ‘Seperti kamu, saya juga perlukan masa,” katanya, merujuk kepada kedai buku terkenal di Sungai Petani, tempat mereka tinggal sebelum ini.
Loh berkata, anak-anaknya juga kelihatan sangat beriman, dan mendesak untuk membenarkan mereka solat Zuhur ketika pertemuan berlangsung.
Dia juga menunjukkan surat diberikan JKM, yang mengatakan dia hanya dibenarkan melawat anak-anaknya selama sehari selain tidak dibenarkan mengambil gambar.
Katanya, masa lawatannya hari ini juga dikawal ketat, dengan seorang pegawai menunggu untuk membawanya keluar tepat sejam selepas dia tiba pada jam 1.15 tengah hari.
Sabtu lalu, Loh membuat laporan orang hilang selepas anak-anaknya tidak diketahui berada di mana yang kali terakhir di bawah jagaan keluarga bekas suaminya.
Wanita itu bercerai dengan suaminya tahun lalu, dengan Mahkamah Tinggi memberikannya hak penjagaan penuh tiga anaknya pada Disember.
Polis memberitahunya bahawa kanak-kanak itu berada bawah jagaan pihak berkuasa agama di Perlis dan kemudian mengatur pertemuan dengannya di sebuah balai polis di Kangar pada Ahad.