
Dalam kejadian jam 10.15 pagi, mangsa berusia 50 tahun dikatakan berhenti di stesen minyak tersebut sebelum diserang suspek yang berkumpulan menaiki dua buah kenderaan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Adi Sham Mohamed, berkata suspek menghalang kenderaan mangsa di bahagian hadapan dan belakang sebelum melarikan tiga beg berisi barang kemas.
Beliau berkata, suspek turut melarikan telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi mangsa sebelum melarikan diri.
“Ketika suspek melarikan diri, mangsa mengejar dan menghimpit salah sebuah kereta hingga menyebabkan sebuah kenderaan suspek hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan.
“Mangsa kemudian berpatah balik namun suspek telah berjaya melarikan diri. Mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan akibat terkena senjata parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, dua daripada tiga beg berisi barang kemas yang dilarikan ditemui semula dalam kenderaan jenis Honda CRV warna hitam yang terbalik di tepi jalan Lukut.
Katanya, polis turut menemui dua bilah parang dan satu “walkie talkie” dipercayai digunakan oleh suspek untuk menyamun mangsa.
“Semakan ke atas kenderaan itu mendapati, ia dicuri bersabit kes di Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 25 Nov tahun lalu.
“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan polis meminta orang awam atau saksi mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline IPD Port Dickson (06-6462999) untuk membantu polis menjalankan siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat,” katanya.