Langgar 3 kenderaan, polis tahan pemandu BMW sakit mental

Langgar 3 kenderaan, polis tahan pemandu BMW sakit mental

Menurut polis kejadian di Taman Sungai Besi dan Lebuh Raya (Besraya) membabitkan BMW dan tiga kenderaan termasuk dua motosikal.

Tangkap layar klip video menunjukkan suspek yang memandu kereta jenis BMW merempuh belakang sebuah motosikal dalam kejadian di Taman Sungai Besi dan Lebuh Raya (Besraya).
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang pemandu kereta jenis BMW yang tular di media sosial selepas merempuh tiga kenderaan dalam dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Zulkafli Chek Lah berkata, terdapat tiga rakaman video tular di akaun Facebook Muqri Abdul Jabar semalam yang menunjukkan pemandu BMW itu memecut kenderaan dalam percubaan melarikan diri selepas berlakunya pelanggaran.

Katanya, kejadian berlaku antara jam 3.30 hingga 4 petang kelmarin di Taman Sungai Besi dan Lebuh Raya (Besraya) membabitkan kereta BMW dan tiga kenderaan termasuk dua motosikal.

“Melalui video itu, suspek yang bergerak dari arah Kuchai Lama menghala Taman Sungai Besi telah melanggar bahagian belakang kereta jenis Perodua Bezza yang sedang berhenti di lampu isyarat Jalan 6/108C.

“Selepas rempuhan, suspek tidak memberhentikan kenderaannya sehingga di Besraya, suspek kemudiannya merempuh bahagian belakang motosikal jenis Kawasaki Vulcan yang sedang bergerak di lorong paling kanan.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal terbabit terjatuh dan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Kosmo.

Katanya, suspek juga tidak memberhentikan kenderaannya selepas pelanggaran kedua dan terus bergerak serta merempuh sebuah lagi motosikal jenis Honda RS150R di Besraya.

“Akibat rempuhan berkenaan, penunggang motosikal terjatuh dan mengalami kecederaan ringan pada tangan dan kaki,” ujarnya.

Katanya, suspek berumur 37 tahun itu berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Salak Selatan Baru untuk tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek adalah seorang pesakit mental dan kini ditahan di Wad Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.