
Bekas menteri, Zaid Ibrahim berkata, tindakan itu sebagai tanda Umno menebus kembali dosa mereka kepada rakyat Kelantan sebelum ini.
“Dulu Mahathir yang menyekat kita (rakyat Kelantan) dapat minyak pada tahun 90-an. Saya harap Perdana Menteri sekarang yang ada sedikit sebanyak kaitan dengan Kelantan ini hubungannya, dia patut buat benda itu (beri royalti),” katanya pada program bertajuk “Kelantan Tolak Royalti 1 Bilion?” menerusi NR Channel TV malam tadi.
Katanya, selepas tewas kepada PAS di Kelantan pada 1990, Umno bertindak menghukum rakyat negeri itu melalui sekatan pendaratan minyak dan gas ke Kelantan dengan menghantarnya ke Thailand.
“Bukan sahaja pemimpin PAS kena perangkap, pemimpin Umno kena perangkap dulu, sebab kita (Umno) kalah pada 1990, maka ada beberapa pemimpin Umno Pusat yang merasa geram, marah kepada orang Kelantan, dia kata kita ajar dia (orang Kelantan).
“Cara dia ajar macam mana? Bila ada gas, kita hantar paip minyak ke Thailand, kita tak buat ke Bachok, Kelantan, itu sudah tunjuk niat kita tak betul, kita nak hukum rakyat sebab politik,” katanya.
Oleh itu, Zaid menyeru Umno mengakui kesilapan dan menebus kesalahan itu dengan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat Kelantan.
Katanya, PAS Kelantan juga dilihat tidak lagi berminat memperjuangkan hak royalti minyak selepas menarik balik writ saman difailkan pada 30 Ogos 2010 bagi menuntut Petronas membayar tunggakan dan membuat pembayaran tunai bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu.
Beliau mendakwa pemimpin PAS Kelantan mudah tertarik tawaran kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 2020, dengan menerima bayaran RM400 juta selepas menarik balik saman ke atas kerajaan pusat melalui Petronas pada Mei 2019.
Zaid turut membidas wakil rakyat negeri itu, tidak kira PAS atau Umno, yang didakwa tidak bersungguh-sungguh menuntut hak royalti minyak selepas dilantik ke jawatan penting di Putrajaya.
“Isu ini tiada kesudahan kerana pemimpin kita tak bersungguh-sungguh, mudah leka. Sarawak dapat duit royalti sebab mereka tegas, mereka ada 18 kerusi Parlimen, mereka tahu kekuatan tuntut royalti. Kita (Kelantan) ada 14 kerusi Parlimen, tak tahu kekuatan kita atau tak mahu guna kekuatan.
“Kita bersepah ada menteri (dari Kelantan), kenapa tak boleh bersuara, kenapa tak boleh jumpa Perdana Menteri tuntut royalti?” soalnya.
Justeru, beliau berkata, tiba masanya rakyat memberi mandat kepada Umno untuk kembali memerintah Kelantan dan mengubah segala kesilapan lampau pada pilihan raya umum ke-15.