Saya dah fail pembelaan, kata Lokman berkait saman fitnah dikemuka Ketua Hakim Syarie

Saya dah fail pembelaan, kata Lokman berkait saman fitnah dikemuka Ketua Hakim Syarie

Bekas Ahli MKT Umno itu berkata, beliau memfailkan pembelaan terhadap saman fitnah itu pada 11 Feb, hari terakhir diberikan mahkamah.

Lokman Noor Adam berkata peguamnya sudah hadir ke pejabat peguam mewakili Mohd Na’im Mokhtar untuk menyerahkan dokumen itu secara serahan tangan pada 11 Feb.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam, menafikan gagal memfailkan pembelaan berkait saman fitnah dikemukakan Ketua Hakim Syarie Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam kenyataan di Facebooknya Lokman berkata, penyata pembelaan difailkan pada Jumaat, 11 Feb menerusi peguamnya.

Katanya, peguamnya juga sudah hadir ke pejabat peguam mewakili Na’im untuk menyerahkan dokumen itu secara serahan tangan pada tarikh sama.

Na’im mengemukakan saman terhadap Lokman atas dakwaan memfitnah berhubung kenyataannya dalam kes gangguan seksual.

“Oleh itu, saya percaya bahawa kenyataan media dari FMT tersebut adalah salah nyata dan saya ingin tahu dari sumber mana FMT dapat maklumat ini,” katanya merujuk kepada laporan FMT berhubung perkara itu, hari ini.

FMT kekal berpendirian dengan laporan diterbitkan berdasarkan permohonan difailkan Tetuan Akberdin & Co di pejabat pendaftaran mahkamah, semalam.

Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Na’im, juga mengesahkan Lokman tidak memfailkan pembelaan mengikut tempoh ditetapkan.

Na’im memfailkan permohonan penghakiman ingkar berjumlah RM30 juta selepas Lokman gagal memfailkan pembelaannya walaupun Mahkamah Tinggi melanjutkan tempoh akhir hingga Jumaat lalu.

Na’im menuntut RM10 juta setiap satu bagi ganti rugi teladan, teruk dan punitif berserta faedah 5% sehingga jumlah penghakiman dibayar.

Pada 19 Jan, Na’im memfailkan saman fitnah dan memohon injunksi interim terhadap Lokman, yang mendakwanya terbabit dalam beberapa kes gangguan seksual, termasuk beliau dikatakan berbogel dalam bilik tidur rumah seorang wanita.

Katanya, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat, serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.