
Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad berkata, PRN itu dirancang oleh kumpulan terbabit bertujuan memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan.
“Perancangan mereka ialah apabila memenangi PRU nanti, mereka akan dapat menggunakan kedudukan untuk menyelesaikan kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat,” katanya dalam surat kepada pengundi Johor.
Mahathir berkata, walaupun “kluster mahkamah” tidak bertanding dalam PRN Johor, namun mereka yang bertanding atas tiket Umno dan Barisan Nasional (BN) akan memberi kekuatan kepada kumpulan terbabit.
“Saya sedar PRN ini tidak memberi kesan apa-apa kepada siapa yang berjaya menerajui negeri. Di sini, saya ingin memberi pandangan bahawa kesan PRN Johor kepada PRU amat besar dan ia tidak boleh dipandang ringan.
“Rakyat Johor telah menolak calon Umno dan BN pada PRU lalu kerana mereka tidak mahu bertindak mendesak Najib Razak melepaskan jawatan sebaliknya mempertahankannya,” katanya.
Katanya, disebabkan mereka masih mempertahankan kleptokrat, Pejuang yang menyertai PRN kali ini akan berusaha menyekat perancangan kumpulan itu.