
Menurut JPNP dalam kenyataan hari ini, keputusan membatalkan kelulusan itu dibuat setelah kerajaan Pahang membuat penilaian berdasarkan analisis pascabanjir dan mengambil kira kepentingan awam.
Sehubungan itu, JPNP mengarahkan semua aktiviti pra pembalakan di kawasan itu dihentikan selain semua jentera terlibat dikeluarkan.
JPNP memaklumkan kawasan yang diluluskan itu tidak berada dalam kawasan hutan simpan dan penilaian yang diperlukan, khususnya berkaitan impak alam sekitar telah memperoleh kelulusan daripada jabatan terlibat.
“Kerja pembalakan di kawasan itu masih belum dimulakan oleh pelesen. Hanya kerja awalan membersihkan jalan pengeluaran dan pembinaan matau utama atas tanah kerajaan sahaja yang telah dimulakan.
“Bagaimanapun JPNP mengarahkan kerja itu dihentikan semasa musim tengkujuh dan banjir yang berlaku baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan isu tular di Facebook sejak Ahad lepas mendesak kerajaan negeri membatalkan lesen pembalakan di hutan Bukit Makro yang didakwa diluluskan pada akhir 2020 namun dikatakan operasi pembalakan itu ditangguhkan akibat musim tengkujuh.