
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad dalam kenyataan berkata, lelaki itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital Selayang, semalam.
Terdahulu, lelaki itu yang ditahan berkaitan kesalahan dadah mengadu mengalami kesukaran bernafas dan dibawa ke hospital.
Lelaki itu ditahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah berbahaya 1952 dan mempunyai satu rekod masih dikehendaki mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.
Azri berkata, pada jam 5.30 petang semalam, Orang Kena Tahan (OKT) terbabit mengadu sesak nafas dan pihak hospital telah dihubungi untuk membawanya ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun katanya, OKT itu disahkan meninggal dunia sejam kemudian semasa menerima rawatan.
“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” katanya.
Pada 9 Feb lalu, polis mengesahkan terdapat tujuh kes kematian OKT dengan hanya satu kes melibatkan unsur jenayah.
Daripada tujuh kes yang dilaporkan itu, empat daripadanya merupakan kematian dalam lokap dan dua lagi kes meninggal dunia di hospital manakala satu kes melibatkan kematian ketika OKT dalam perjalanan ke hospital.