
Beliau berkata, Warisan bukan berhasrat untuk memenangi kerusi di Johor atau memerintah negeri itu, tetapi fokus parti itu adalah Malaysia.
“Saya harap pilihan raya di Johor jangan fikir banyak, kita ada pilihan, pilihlah Warisan. Kita bukan mahu kerajaan Johor, kita mahu kerajaan Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Warisan Johor di sini.
Pada majlis sama, Shafie turut mengumumkan bekas Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Kukup Suhaimi Salleh sebagai Pengerusi Warisan Johor.
Suhaimi ketika ditemui, menegaskan beliau yakin dengan sokongan rakyat Johor terhadap Warisan dan sehingga kini ramai menyatakan hasrat menyertai parti itu.
“Saya buat keputusan ini (sertai Warisan) agak lama, tetapi saya lihat Warisan ada sesuatu yang meyakinkan dalam politik baharu di negara kita,” katanya.
Parti berasal dari Sabah itu secara rasmi melebarkan sayap ke Semenanjung Dis tahun lalu.
Terdahulu, Warisan sebelum ini dilaporkan, berkata parti itu perlu meneliti banyak perkara sebelum memutuskan untuk bertanding di Johor, antaranya kerjasama dengan rakan politik di Semenanjung seperti MUDA.