‘Apa yang kelakar sangat dengan Premier?’, Najib tanya ADUN DAP

‘Apa yang kelakar sangat dengan Premier?’, Najib tanya ADUN DAP

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak kecam ADUN Pending, Violet Yong kerana membandingkan jenama kertas tisu berhubung pertukaran nama jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada "Premier".

ADUN Pending, Violet Yong memuat naik gambar di Facebook menunjukkan beliau memegang gambar tisu jenama Premier. (Gambar Facebook Violet Yong)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sarawak dikecam kerana mempersendakan tindakan negeri itu berhubung pertukaran nama jawatan Ketua Menteri kepada “Premier” dengan membandingkannya dengan jenama tisu.

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak berkata, langkah menamakan semula gelaran Ketua Menteri kepada Premier perlu disokong sebagai solidariti dengan Perjanjian Malaysia 1963, yang mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dalam persekutuan.

Violet Yong yang juga ADUN Pending memuatnaik gambar di Facebook awal hari ini menunjukkan dia memegang gambar tisu jenama Premier seolah-olah cuba mempermainkan tindakan itu.

Dalam catatan Facebooknya, Najib berkata, jawatan Premier bukan bahan ketawa, kerana istilah itu digunakan di negara seperti Australia dan China.

“Apa yang kelakar sangat, YB? Sila kongsi. Jangan ketawa sendiri,” sindir Najib.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan pindaan Perlembagaan negeri bagi pertukaran nama Ketua Menteri kepada Premier dan Menteri Muda kepada kepada Timbalan Menteri dengan mendapat undian dua pertiga hari ini.

Semasa perbahasan pindaan itu, Fazzruddin Abdul Rahman (GPS-Tupong) berkata gelaran “Premier” akan mengiktiraf status negeri, berbanding Ketua Menteri Melaka dan Sarawak, lapor Bernama.

Chong Chieng Jen (PH-Padungan) berkata, perkataan “Premier” boleh menimbulkan kekeliruan sekiranya diterjemahkan ke Bahasa Malaysia terutamanya dalam teks undang-undang manakala Baru Bian (PSB-Ba’Kelalan) berkata, tindakan menamakan semula jawatan itu adalah tidak berperlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.