
Loh Siew Hong berasa amat sedih kerana Mohd Asri Zainul Abidin, yang tiada pertalian darah dengan keluarganya, boleh meluangkan masa dengan anak-anaknya ketika beliau sendiri tidak dibenarkan susulan “sekatan Covid-19”.
“Mereka masih kanak-kanak. Jadi mana boleh anda tanya apakah agama mereka? Anda patut rujuk saya,” kata Loh kepada FMT.
“Bagaimana mufti boleh jumpa mereka sedangkan saya tak boleh? Kejam sungguh,” tambahnya.
Loh berkata demikian selepas Asri memuatnaik video memaparkan beliau bersama anak-anak Loh dan bertanyakan apakah mereka mahu kekal menjadi orang Islam dan apakah mereka terpaksa atau dipaksa memeluk agama itu.
Selepas diberitahu mereka mahu kekal menjadi orang Islam, Asri berkata, beliau akan berusaha supaya mereka kekal sebagai orang Islam. Anak lelaki Loh, yang berusia 10 tahun, tidak kelihatan dalam video berkenaan.
Asri dalam catatannya di media sosial, berkata kanak-kanak terbabit dibawa bapa mereka ke Perlis pada 2020 untuk menganut Islam secara rasmi, dan mereka diberi pendidikan dan kebajikan di negeri itu tanpa mengetahui Loh mempunyai hak penjagaan.
FMT sudah menghubungi Asri untuk mendapatkan reaksi beliau.
Loh baru-baru ini, membuat laporan polis bahawa dua anak perempuannya dan anak lelakinya dalam jagaan seorang wanita yang menguruskan NGO di Perlis.
Beliau tidak dapat bertemu tiga anaknya itu sejak tiga tahun lalu kerana sedang berlindung di sebuah pusat perlindungan kes keganasan rumah tangga. Ketika itu, juga beliau dalam proses memohon perceraian dan hak jagaan ke atas anak-anaknya.
Loh berjaya menceraikan suaminya dan mendapat hak jagaan penuh ke atas anak-anaknya tahun lalu. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis memastikan anak-anaknya dipulangkan kepada ibu mereka.
Beliau baru-baru ini dibenarkan untuk bertemu anak-anak di Perlis, tetapi mengambil keputusan untuk meletakkan mereka bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga saman habeas corpus didengar pada 21 Feb.
JKM bersetuju untuk membenarkan Loh melawat anak-anaknya setiap hari, dengan syarat beliau diuji untuk Covid-19 setiap hari.
Ibu tunggal itu bagaimanapun tidak dapat melawat mereka hari ini, dikatakan kerana ada sekatan baharu ke atas pengunjung di pusat itu.
Loh juga memfailkan saman terhadap seorang wanita yang menjalankan sebuah yayasan Islam, yang dikatakan menjaga anak-anak Loh dalam tiga tahun lalu.