Soalan lisan ‘perkahwinan idaman anda’ lalui tapisan ketat panel pakar, kata i-Guru

Soalan lisan ‘perkahwinan idaman anda’ lalui tapisan ketat panel pakar, kata i-Guru

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia berkata, soalan itu ada dibincangkan dalam sukatan subjek bahasa Melayu Tingkatan 4 mengenai adat dan budaya kaum.

Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia berkata, soalan ‘perkahwinan idaman anda’ disediakan untuk menguji cara calon SPM berfikir, menilai dan mengolah menggunakan bahasa yang betul. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Di sebalik kritikan terhadap soalan ujian lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bahasa Melayu bertajuk “Apa perkahwinan idaman anda?”, wakil sebuah persatuan guru tampil mempertahankan penyediaan soalan itu yang melalui tapisan ketat sekumpulan pakar daripada panel penilai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, soalan itu bertujuan menguji kemahiran bertutur dan mengolah calon berdasarkan sukatan pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Justeru katanya, ia tidak perlu diperdebatkan kerana tidak timbul isu yang dipertikaikan pelbagai pihak.

“(Soalan) perkahwinan idaman itu merujuk kepada cara hidup setiap kaum, budaya dan ia ada dibincangkan dalam subjek bahasa Melayu Tingkatan 4.

“Soalan itu bukan satu isu besar sebab soalan ini lebih kepada cara calon SPM itu berfikir, menilai dan mengolah menggunakan bahasa yang betul. Sebab itu setiap kemahiran ada kaedah penaksiran tersendiri dan soalan ini lebih kepada kemahiran pelajar bertutur,” katanya kepada FMT.

Sejak beberapa hari lalu, ibu bapa kepada pelajar Tingkatan 5 berkongsi di media sosial mengenai soalan ujian lisan bahasa Melayu yang diterima anak mereka. Ia mengundang pelbagai reaksi berbeza daripada warganet yang sebahagian besar mengecam soalan demikian.

FMT difahamkan soalan itu berkait sukatan pelajaran adat dan kebudayaan dalam buku teks bahasa Melayu Tingkatan 4 muka surat 112 hingga 113 yang menyentuh persembahan dalam majlis serta semangat kerjasama jiran tetangga.

Azizee berkata, proses membuat soalan perlu melalui kaedah pembinaan soalan sangat ketat dan panel penilai akan membincangkannya sebelum ia diluluskan.

Katanya, jika terdapat kesilapan dalam soalan berkenaan, sudah tentu set soalan itu ditolak di peringkat awal.

“…jadi kita perlu beri kepercayaan terhadap apa yang dibuat itu. Maknanya tiada masalah pun, jika kita faham instrumen pembinaan soalan itu,” katanya.

Terdahulu, bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, soalan ujian lisan itu tidak sesuai untuk pelajar berusia 17 tahun dan pelajar mereka tidak harus dipaksa berfikir mengenai perkahwinan kerana ada banyak lagi isu utama yang harus dititikberatkan dalam kehidupan mereka.

Mengulas kenyataan itu, Azizee berkata, pemimpin DAP itu “tidak faham konsep soalan itu yang menumpukan kemahiran bertutur, bukannya menulis”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.