
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata gelaran Ketua Menteri atau “Chief Minister” akan ditukar kepada “Premier”, tetapi beliau tidak mengulas penggunaan “Perdana” dalam bahasa Melayu.
“Ketua Menteri atau CM akan ditukar menjadi ‘Premier’. Menteri Muda atau ‘Assistant Minister’ akan ditukar kepada Timbalan Menteri atau ‘Deputy Minister’,” katanya ketika dihubungi FMT.
Ditanya jika terdapat kesan signifikan terhadap perubahan nama jawatan tertinggi itu, Karim berkata, beliau akan menjelaskannya dalam DUN Selasa ini.

Karim dijangka membentangkan cadangan penukaran gelaran itu menerusi Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 membabitkan Perkara 9(3) Perlembagaan untuk menggantikan gelaran Ketua Menteri kepada “Premier”.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii, turut memuat naik tangkap layar berhubung pindaan itu ke Twitternya.
“Dalam pindaan terbaharu Perlembagaan Sarawak yang akan dibentangkan, mereka (kerajaan) akan menukar gelaran ‘Chief Minister’ kepada ‘Premier’. Ini bermakna, Abang Jo (gelaran Abang Johari Openg), akan dipanggil sebagai ‘Premier’ Sarawak.”