Lebih 8,000 jemaah batal umrah dibayar sagu hati RM1,671 mulai 18 Feb

Lebih 8,000 jemaah batal umrah dibayar sagu hati RM1,671 mulai 18 Feb

Bayaran sagu hati itu hanya dikreditkan ke akaun simpanan Tabung Haji jemaah umrah bagi memudahkan urusan.

Seramai 8,027 jemaah umrah terkesan dengan keputusan kerajaan menangguhkan sementara kebenaran mengerjakan ibadah umrah berkuat kuasa 8 Jan lalu, susulan penularan varian Omicron.
PETALING JAYA:
Lebih 8,000 jemaah yang terpaksa membatalkan ibadah umrah mereka akan dibayar sagu hati sebanyak RM1,671 seorang mulai 18 Feb ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Katanya, pembayaran sagu hati itu hanya akan dikreditkan ke akaun simpanan Tabung Haji (TH) jemaah umrah bagi memudahkan urusan.

“Kerajaan akan menyalurkan pembayaran sagu hati sebagai tanda keprihatinannya kepada jemaah umrah yang terpaksa membatalkan perjalanan ke Tanah Suci akibat penularan jangkitan virus Omicron bermula 8 Jan lepas,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Bernama.

Kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan lalu bagi membendung penularan varian Omicron.

Ibadah itu bagaimanapun dibenarkan semula 8 Feb lalu dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu, antaranya jemaah umrah diwajibkan menerima dos penggalak.

Individu bertanggungjawab daripada ejen pelancongan juga perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di pintu masuk antarabangsa Malaysia.

Menurut Idris, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menyerahkan senarai nama 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima sagu hati tersebut. Daripada jumlah itu, hampir 1,000 jemaah umrah belum mempunyai akaun simpanan TH.

“Oleh kerana kaedah bayaran adalah melalui akaun simpanan TH, maka saya menyeru semua jemaah umrah yang belum mempunyai akaun simpanan TH untuk membuka akaun TH sebelum 18 Feb,” katanya.

Idris berkata, jemaah umrah boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH dalam talian dan hadir ke kaunter TH terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik, atau ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran, jika menghadapi kesukaran mendaftar dalam talian.

“Jemaah yang terkesan akan dilayan serta-merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.