Makan sisa makanan dalam tong sampah, 2 beradik Myanmar maut

Makan sisa makanan dalam tong sampah, 2 beradik Myanmar maut

Bapa dan dua kanak-kanak itu hanya menumpang di rumah jiran kerana mereka tiada kediaman tetap.

Mayat dua beradik berusia 2 dan 4 tahun itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk ujian Covid-19 dan bedah siasat. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Dua beradik warga Myanmar masing-masing empat dan dua tahun maut dipercayai memakan sisa makanan dalam tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi, petang tadi.

Nizambudin, 4, dan adiknya, Ngei Jamaludin, 2, dilaporkan meninggal dunia berhampiran tempat kejadian pada 5.40 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Shariman Ashari, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 6.15 petang.

“Siasatan mendapati bapa kanak-kanak itu melihat kedua-duanya berada berhampiran tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang dan mulut berbuih, sebelum membawa mereka ke rumah jiran berdekatan.

“Beberapa minit selepas itu, dua kanak-kanak itu didapati tidak bernafas sebelum penduduk kampung menghubungi polis,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Shariman berkata, bapa kanak-kanak itu bekerja mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan kerja kampung, selain mereka tiada kediaman tetap dan hanya menumpang di rumah jiran.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak yang meninggal dunia ini dipercayai memakan sisa makanan diperoleh dalam tong sampah, iaitu kawasan mereka ditemui.

“Pengesahan kematian dibuat petugas perubatan dan kedua-dua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk ujian Covid-19 dan bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.