Dua kali SC perjelaskan tiada salah laku, kata Azam Baki

Dua kali SC perjelaskan tiada salah laku, kata Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata, apa yang penting adalah beliau menepati segala peruntukan undang-undang dan SC mendapati tiada kes salah laku.

Pada 18 Jan lalu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan siasatannya “tidak dapat memastikan secara muktamad berlaku kesalahan” melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki di bawah undang-undang berkenaan.
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata Suruhanjaya Sekuriti (SC) dua kali menegaskan tidak ada sebarang salah laku berhubung pembelian saham melibatkan beliau dan tiada percanggahan antara kenyataan badan itu dan penjelasannya sebelum ini.

Azam berkata apa yang penting adalah beliau menepati segala peruntukan undang-undang dan SC mendapati tiada kes salah laku.

“Mereka (SC) telah mengeluarkan dua kenyataan…(menyatakan) tiada kesalahan terhadap saya. Jadi, bila mereka sudah terangkan semuanya, isu ini telah pun diperjelaskan,” kata Azam kepada FMT dan beberapa media terpilih awal minggu ini.

Azam berkata ‘soal’ percanggahan itu mungkin diungkit pihak tertentu kerana beliau sebelum ini memilih memberi penjelasan mengenai isu yang agak teknikal secara “mudah” untuk difahami ramai.

“Sebenarnya, tiada apa-apa perbezaan pun. Perkara ini sangat teknikal dan semasa sidang media (sebelum ini), saya memilih untuk menggunakan perkataan-perkataan yang mudah difahami oleh orang ramai tanpa perlu saya menjelaskan hal-hal yang teknikal berhubung dengan akaun dagangan saham,” kata beliau.

Pada kali ini, Azam menjelaskan lebih terperinci peraturan SC berhubung akaun dagangan individu.

“Kenyataan SC menyatakan saya sebagai pemilik akaun saham mestilah mempunyai kawalan penuh terhadap apa-apa transaksi saham-saham tersebut.

“Dalam hal ini, akaun sekuriti telah dibuka di bawah nama saya dan transaksi dibuat oleh saya bagi pihak adik saya, Nasir Baki. Ini semua telah diisytiharkan dan dibuat menurut undang-undang Bursa dan dengan kepatuhan pada prosedur,” tegas Azam.

Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) menetapkan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik pemanfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Pada 18 Jan lalu, SC mengumumkan siasatannya “tidak dapat memastikan secara muktamad berlaku kesalahan” melibatkan Azam di bawah undang-undang berkenaan.

Azam sebelum ini menjelaskan adiknya, Nasir terlibat dalam pembelian saham syarikat tersenarai menggunakan akaun dagangannya (Azam) pada tahun 2015-2016, namun segala keperluan undang-undang berhubung transaksi itu dipatuhi.

Pada 19 Jan, 2021, SC mengeluarkan kenyataan bahawa SC membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) daripada Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 dan fail inkuiri sudah ditutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.