Dakwa BN punca ketidakstabilan politik, Sanusi tak hargai MN lagi, kata pemimpin Umno Kedah

Dakwa BN punca ketidakstabilan politik, Sanusi tak hargai MN lagi, kata pemimpin Umno Kedah

Hashim Jahya berkata, kenyataan Menteri Besar Kedah itu jelas menampakkan MN sekadar dakyah politik PAS yang tidak ikhlas bekerjasama dengan Umno dan BN.

Hashim Jahya berkata, tindakan Muhammad Sanusi Md Nor memperlekehkan BN bertentangan ‘fatwa’ PAS kononnya nekad mahu memperkukuhkan MN.
PETALING JAYA:
Setiausaha Umno Kedah Hashim Jahya berkata, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tidak lagi menghargai Muafakat Nasional (MN) kerana memperlekehkan Barisan Nasional (BN) dalam siri ceramah di Batu Pahat, Johor, semalam.

Katanya, tindakan Sanusi itu bertentangan “fatwa” PAS kononnya nekad mahu memperkukuhkan MN dan jelas menampakkan MN sekadar dakyah politik PAS yang tidak ikhlas bekerjasama dengan Umno serta BN.

“Tohmahan Sanusi itu bagaikan alasan untuk mencari helah meruntuhkan MN dan bukan memperkukuhkannya. Kenyataan itu juga mungkin bertujuan mengaburi mata penyokong PAS di Johor yang khabarnya lebih sayangkan ukhuwah MN,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

“Setelah mengeratkan silaturrahim bersama Umno dan BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, sudah tentu ramai penyokong PAS yang keliru, apabila Sanusi mengajar untuk berkelahi dengan Umno dan BN, lalu menyeru mereka menyokong Bersatu yang menipu mereka hidup-hidup dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.”

Ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional (PN) Johor, Sanusi dilaporkan berkata, ada formula mudah untuk mewujudkan kestabilan politik di Malaysia, iaitu memastikan Umno mendapat kerusi yang sedikit hingga tidak mampu menumbangkan kerajaan, walaupun mereka menarik diri.

Katanya, tujuan PRN Johor diadakan bukan untuk mewujudkan kestabilan politik semata-mata, sebaliknya bagi menambah kerusi Umno dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Menjelaskan satu persatu dakwaan Sanusi itu, Hashim berkata, sesebuah negeri yang sama bilangan ADUN atau hanya mempunyai kelebihan satu atau dua kerusi DUN saja, tidak boleh dianggap stabil di negara ini, khususnya selepas PRU14.

Sebagai pemimpin utama negeri katanya, Sanusi tentu tahu kesan buruk bagi sesebuah negeri atau negara yang tidak stabil politiknya.

“Apatah lagi Presiden dan pemimpin utama Bersatu kebelakangan ini mengugut BN mahu menekan ‘butang’ di Johor. Oleh itu, kedudukan politik dan pentadbiran kerajaan negeri sangatlah tidak stabil serta goyah, dan harapnya Sanusi celik dengan keadaan tersebut.”

Sekiranya Umno dan BN tamak kuasa, katanya, Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad tidak akan menasihatkan Sultan Johor membubarkan DUN supaya beliau terus selesa memegang kuasa hingga tamat penggal.

“Namun, atas rasa tanggungjawab pada amanah diraja, rakyat dan Johor, beliau perlu mengambil keputusan tersebut.

“Sekiranya Sanusi celikkan mata lebih luas, Umno dan BN mentadbir negara sejak merdeka lagi, dengan kelebihan kerusi yang baik. Lebih 60 tahun mentadbir, kestabilan politik dalam keadaan baik, malah pertumbuhan ekonomi juga baik, sekali gus menjadi petanda Umno dan BN bukan punca ketidakstabilan politik di negara ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.