
Berucap dalam pelancaran Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ke-3 di sini, Zahid turut merujuk kesilapan BN mempercayai PN pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah lalu.
Katanya, mengambil kira BN sudah kembali kuat, parti komponen BN di negeri berkenaan, terutama Umno dan PBRS perlu memastikan “ular tidak mematuk lagi” sekiranya berhasrat kembali berkuasa di Sabah.
“Untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin dan Timbalan Presiden PBRS, Arthur Kurup bersama saya tidak akan ditipu lagi.
“Kita kembali kuat dan yakin akan menang besar pada PRU15, tetapi kita perlu pastikan ular tidak mematuk lagi, jadi ia tidak akan menyerang kita lagi. Tapi, siapa yang boleh membunuhnya? Hanya BN di Sabah,” katanya.
Beliau juga mendakwa PN melanggar “perjanjian gentleman” mereka dalam PRN Sabah yang diadakan pada September 2020.
“Ada perjanjian gentleman di mana kita akan menjaga kawasan kita dan mereka akan menjaga kawasan mereka.
“Sebaliknya, ada ramai bekas pemimpin BN melompat parti dan mereka meletakkan calon bebas di kerusi yang ditandingi BN.”
Katanya, manipulasi politik menyebabkan nama lain dicadangkan sebagai ketua menteri, walaupun jawatan itu pada mulanya dijanjikan kepada BN.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Najib Razak, berkata pengkhianatan PN pada PRN Sabah menyebabkan perseteruan Bersatu dan Umno serta menjejaskan peluang parti itu menyertai Muafakat Nasional (MN).
Dalam pada itu, Zahid berkata, BN belum membuat keputusan sama ada akan bekerjasama dengan PN di Sabah menjelang PRN15.
Walaupun pendirian BN bertanding solo adalah jelas pada PRN Melaka dan PRN Johor akan datang, beliau berkata, pimpinan BN, termasuk BN negeri perlu berbincang perkara itu terlebih dulu untuk Sabah.
“Sabah berbeza dengan negeri lain dan kita mesti mengambil kira pandangan parti komponen BN Sabah. Keputusan akan dibuat selepas kita menelitinya.”
BN Sabah sebahagian daripada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Bersatu.
Mengulas pendaftaran rasmi GRS, Zahid berkata, walaupun BN menyokong langkah itu, namun ia sukar kerana perlembagaan BN tidak membenarkan parti komponennya menganggotai gabungan politik rasmi lain.
“Kita menyokong GRS didaftarkan, namun halangannya adalah Umno sebagai parti tunjang BN dan kita perlu kekalkan perkara itu,” katanya.