Ibu tunggal mohon polis bantu dapatkan 3 anak kembali

Ibu tunggal mohon polis bantu dapatkan 3 anak kembali

Loh Siew Hong diberitahu anaknya di bawah jagaan pihak berkuasa agama Perlis.

Loh Siew Hong, yang berpisah dengan tiga anaknya tiga tahun lalu, membuat laporan polis untuk mendapatkan mereka kembali.
GEORGE TOWN:
Seorang ibu tunggal membuat laporan polis untuk mendapatkan kembali tiga anaknya, yang kali terakhir diketahui bersama keluarga bekas suaminya.

Katanya, beliau dimaklumkan mereka kini di bawah jagaan pihak berkuasa agama di Perlis.

Loh Siew Hong, 34, membuat laporan polis hari ini dan memberitahu wartawan, beliau kemudian menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memaklumkan anak perempuan kembarnya yang berusia 14 tahun berada di Perlis. Beliau juga mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 tahun.

Loh berkata, polis di Kepala Batas menasihatkan beliau ke Perlis.

“Saya mahu mendapatkan anak saya kembali. Sudah tiga tahun saya berpisah dengan mereka. Jadi, saya merayu pihak yang menjaga anak saya – serahkan mereka kepada saya,” katanya sambil menangis.

Polis Seberang Perai Utara mengesahkan laporan sudah diterima, tetapi tidak mengulas lanjut. FMT sudah menghubungi Exco Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Ruzaini Rais untuk mengulas.

Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, P David Marshel berkata, semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan anak-anak Loh dan bekas suaminya disenaraikan beragama Hindu.

Loh berkata, anaknya di bawah jagaan bekas suami dan ibu mertuanya ketika beliau berada di pusat perlindungan wanita selepas didera secara fizikal oleh lelaki terbabit.

Katanya, beliau membina semula kehidupannya dan memfailkan perceraian tahun lalu, selain diberikan hak penjagaan penuh anaknya.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis mendapatkan semula tiga anaknya, tetapi ia belum dilakukan sehingga kini.

Bekas penjual nasi campur dari Sungai Petani itu, kini bekerja sebagai pembantu cef di Genting Highlands.

Katanya, beliau cuba mendapatkan tiga anaknya selepas perceraian dimuktamadkan, tetapi bekas ibu mertuanya mendakwa tidak tahu di mana mereka berada. Loh berkata, mereka mungkin bersama bapa mereka, yang tidak dapat dihubungi.

Katanya, beliau membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya di tiga negeri tahun lalu.

Bulan lalu, seorang wanita menghantar mesej dan gambar anak kepadanya di Facebook. tetapi pertanyaan sama ada beliau boleh mendapatkan anaknya tidak dijawab.

Dua minggu lalu, beliau berkata, seorang lelaki mendakwa anak lelakinya di bawah jagaan beliau di sebuah sekolah tahfiz di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, dan menghantar gambar anaknya sedang membaca al-Quran.

Tetapi, apabila ke sekolah terbabit, beliau diberitahu individu itu tidak tinggal di sana.

Beliau kemudian mendapatkan bantuan David dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam, Satees Muniandy, yang membantunya membuat laporan polis hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.