Warisan perlu kerjasama parti dominan Melayu di Semenanjung, kata penganalisis

Warisan perlu kerjasama parti dominan Melayu di Semenanjung, kata penganalisis

Penganalisis politik berpendapat hakikatnya Warisan masih dilihat secara meluas oleh ramai pihak sebagai parti yang berpangkalan di Sabah.

Sukar untuk Warisan bekerjasama dengan PH memandangkan hubungan Shafie Apdal yang tegang dengan pengerusi gabungan itu, Anwar Ibrahim, menurut penganalisis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis melihat bahawa Warisan perlu bekerjasama dengan parti yang menarik minat orang Melayu sewaktu ia cuba bertapak di Semenanjung Malaysia.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Warisan yang merancang untuk meletakkan dirinya sebagai alternatif bagi mereka yang kecewa dengan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), mempunyai “kelemahan besar” kerana tidak mempunyai daya tarikan kepada orang Melayu yang merupakan pengundi majoriti.

“Hakikat yang kejam ialah Warisan masih dilihat secara meluas oleh banyak pihak sebagai parti yang berpangkalan di Sabah dan Presidennya, Shafie Apdal, walaupun seorang Muslim, digambarkan oleh sesetengah pihak sebagai bukan orang Melayu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ini adalah sebabnya mengapa parti itu memerlukan kerjasama atau sekutu yang mendapat sokongan orang Melayu.

Warisan kini melebarkan sayapnya ke Lembah Klang, Perak, Pulau Pinang dan Johor. Parti itu dikatakan sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, beliau percaya BN akan menjadi rakan kongsi yang ideal untuk Warisan memandangkan gabungan itu mendapat sokongan orang Melayu tetapi kekurangan sokongan orang bukan Melayu.

“MCA dan MIC tidak boleh diharapkan buat masa ini,” katanya kepada FMT. “Jadi ia akan menjadi (situasi) menang-menang bagi BN dan Warisan untuk bekerjasama.”

Kata Azmi, sukar untuk Warisan bekerjasama dengan PH memandangkan hubungan Shafie yang tegang dengan pengerusi gabungan itu, Anwar Ibrahim, serta prestasi buruk PH dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru-baru ini.

PH memenangi lima daripada 28 kerusi yang ditandingi di Melaka dan dua daripada 82 kerusi yang ditandingi di Sarawak.

Sementara itu, Anantha Raman Govindasamy dari Universiti Malaysia Sabah berkata, keupayaan Warisan untuk mengambil tempat di Semenanjung bergantung kepada sama ada ia boleh “memenangi imaginasi” pengundi, khususnya orang Melayu.

Beliau berkata, bekerjasama dengan PH mungkin akan menjadi pilihan terbaik untuk Warisan kerana persamaan ideologi mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.