Syor MPN buka sempadan 1 Mac belum boleh dilaksanakan, kata PM

Syor MPN buka sempadan 1 Mac belum boleh dilaksanakan, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini sempadan masih belum sesuai dibuka susulan peningkatan kes Covid-19 di kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan MPN itu masih belum dibincangkan dalam Kabinet, selain perlu dirujuk kepada KKM bagi mendapatkan saranan dan nasihat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Syor Majlis Pemulihan Negara (MPN), baru-baru ini, untuk sempadan negara dibuka pada 1 Mac belum boleh dilaksanakan kerana memerlukan penelitian lanjut, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, cadangan MPN itu juga masih belum dibincangkan dalam Kabinet, selain perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan saranan dan nasihat.

Katanya, perkara itu juga bagi memastikan kesediaan negara untuk menerima pengunjung luar, selain keupayaan kerajaan dalam mengatasi Covid-19 dan varian Omicron.

“Itu hanya cadangan MPN, cadangan itu perlu dibincangkan dan mungkin pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh duduk sama dalam perkara ini. Jika perlu perkara itu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Kabinet kita akan bincang perkara ini.

“Cuma saya mahu maklumkan buat masa sekarang, tiada perbincangan lagi yang dibuat, itu hanya cadangan daripada MPN.

“Buat masa ini, sempadan masih belum sesuai dibuka dengan peningkatan kes Covid-19 di kebanyakan negara termasuk Malaysia,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang, di Tangkak yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

Pada 8 Feb lalu, MPN bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.

Pengerusi MPN Muhyiddin Yassin bagaimanapun menegaskan, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Dalam pada itu, Ismail berkata, keutamaan kerajaan kini adalah untuk mengimbangi isu kesihatan serta keperluan pembukaan semula sempadan negara yang membabitkan pelancongan sebagai industri utama.

Katanya, pembukaan semula sempadan negara ada dalam perancangan kerajaan, tetapi bukan dalam tempoh terdekat berikutan penularan wabak masih berlaku.

“Kita bukan hanya mahu bantu sektor pelancongan, tapi mahu menjaga rakyat negara kita sebab kita tidak mahu pelancong datang membawa jangkitan. Itu lebih bahaya. Biar KKM buat kajian lebih terperinci.

“Walaupun perlu saya katakan yang akhir nanti ia (sempadan negara) perlu dibuka juga, kita akan pertimbangkan (pembukaan sempadan) kerana kita mahu mengimbangi industri pelancongan dengan kesihatan rakyat,” katanya.

Ismail berkata, KKM juga akan melakukan perancangan terperinci termasuk mencadangkannya kepada Kabinet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.