
Katanya, punca utama berlaku gelombang ketiga adalah pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020 yang merupakan “super spreader” kepada penularan Covid-19 di seluruh negeri itu dan Semenanjung.
Beliau mengulas kenyataan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohamed Azmin Ali yang mendakwa, antara kejayaan luar biasa kerajaan PN adalah mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah kerajaan terbaik dalam menjalankan usaha pemulihan Covid-19.
“Lihatlah rekod PN (walaupun) dalam tempoh begitu singkat, negara hadapi krisis kesihatan, krisis ekonomi namun kepimpinan Muhyiddin Yassin dan PN berjaya membawa negara keluar daripada krisis ini, malah diiktiraf masyarakat dunia dengan Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei meletakkan Malaysia di tangga ke-13 berbanding 115 pada tahun sebelumnya.
“Ini adalah rekod yang tidak boleh dipadamkan. Data tidak menipu. Ini kebaikan untuk industri di Johor. Kenapa kita tidak boleh terima? Kalau tidak suka janganlah sampai nak dipadamkan kejayaan dan fakta-fakta itu. Kita perlu teruskan kejayaan ini dan saya serahkan kepada rakyat buat keputusan dalam PRN Johor,” kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.
Dzulkefly berkata, ini bukan kali pertama Azmin mengungkapkan kalimah sedemikian dan mendabik dada mengenai kejayaan PN menangani Covid-19.
Katanya, ahli politik dan rombongan penyokong mereka disifatkan sebagai anasir “super-spreader” menyebabkan kes yang dirawat dan kematian termasuk di luar hospital meningkat secara mendadak.
“PN bukan hanya bertanggungjawab mencetuskan gelombang ketiga tetapi mereka gagal mengurusnya dengan cekap, cepat dan berkesan,” katanya kepada FMT.
Beliau mendakwa, PN menggunakan alasan pandemik untuk menyekat proses demokrasi, memperkenalkan Ordinan Darurat dan menangguhkan persidangan Parlimen untuk mengekalkan kuasa.
“PN juga banyak mencemari pengurusan pandemik dengan unsur politik yang menghindari kaedah sains untuk mengatasi ancaman Covid-19. Politik PN ‘menunggang’ pandemik ini untuk menyekat proses demokrasi, melaksanakan Ordinan Dharurat, menangguh persidangan Parlimen dan memberi kuasa kepada Perdana Menteri PN,” katanya.
Katanya, PKP 3.0 dan Ordinan Darurat disifatkan sebagai kegagalan mengurangkan lengkung pandemik, sebaliknya membawa kesan buruk terhadap sosio ekonomi negara.
Menurutnya, hanya apabila “politik pandemik” diketepikan barulah ia dapat diurus dengan efektif dan perkhidmatan kesihatan dikembalikan kepada keadaan sediakala.
“Kini kita berdepan dengan lonjakan kes akibat varian Omicron, ia harus ditangani dengan bijak. Retorik Azmin harus lebih bertanggungjawab dan memberi kerjasama kepada ‘National Task Force’ yang diaktifkan semula dalam kolaborasi yang inklusif,” ujarnya.