Kerajaan perlu tanggung kos sedia lokar, bukan PIBG, kata NUTP

Kerajaan perlu tanggung kos sedia lokar, bukan PIBG, kata NUTP

Ia tidak adil jika diserahkan kepada PIBG kerana tidak semua persatuan itu berkemampuan untuk menyediakan kemudahan setiap pelajar.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, beliau mengakui kerajaan berdepan kekangan kewangan, namun usaha mewujudkan lokar boleh dibuat secara berperingkat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bersetuju jika peruntukan untuk sekolah mewujudkan sistem lokar ditanggung oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) bukannya Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, adalah tidak adil untuk menyerahkan sepenuhnya kos penyediaan lokar kepada PIBG kerana tidak semua persatuan di sekolah berkemampuan.

“Sememangnya kita amat menyokong sekiranya kerajaan memberikan peruntukan khas pembinaan lokar di sekolah bagi membolehkan murid meninggalkan barangan yang tidak perlu dibawa pulang.

“Tidak adil jika menyerahkan tanggungjawab kepada PIBG untuk membuat lokar memandangkan terdapat lebih 10,200 buah sekolah di seluruh negara,” katanya kepada FMT.

Sambil mengakui bahawa kerajaan berdepan kekangan kewangan, namun beliau berkata, usaha mewujudkan lokar boleh dibuat secara berperingkat.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, faktor peralatan berat yang dibawa pelajar bukan sahaja melibatkan buku teks dan keperluan pembelajaran lain, sebaliknya mereka juga membawa barangan tiada kaitan dengan urusan pengajaran dan pembelajaran.

“Dalam hal ini, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan anak-anak mereka hanya membawa barang atau buku yang perlu sahaja,” katanya sambil memaklumkan bahawa isu beg berat bukan perkara baharu dan telah dibincangkan sejak sekian lama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan FMT Rabu lalu mengenai masalah beg sekolah berat yang dikaitkan kepada sakit tulang belakang terhadap pelajar akan berlarutan selagi kerajaan tidak menyediakan peruntukan untuk sekolah mewujudkan sistem lokar.

Dalam laporan itu, Pengerusi PIBG SJK(T) Sungai Renggam, Seksyen 18, M Sukumaran yang dipetik sebagai berkata, tindakan KPM menyerahkan kepada PIBG untuk membiayai sistem lokar amat tidak praktikal.

Ia susulan seorang pelajar Tingkatan 5, Nurul Hanim Fazwin, menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang yang bengkok 40 darjah.

Menurut bapanya, Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, 44, yang juga doktor pakar kanak-kanak, beliau yakin amalan menggalas beg sekolah berat saban tahun menyumbang kepada kerosakan tulang belakang anaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.