Perjelas MoU pengambilan amah, Kula beritahu Hamzah, Saravanan

Perjelas MoU pengambilan amah, Kula beritahu Hamzah, Saravanan

Kedua-dua menteri dilihat tidak konsisten dalam mengeluarkan kenyataan berhubung pendirian dalam MoU itu.

M Kulasegaran berkata, kedudukan dan dasar kementerian yang bercanggah dan tidak konsisten menyukarkan rakyat Malaysia mengambil pembantu rumah dari Indonesia.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran menggesa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan menjelaskan kepada orang ramai mengenai memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia.

Bekas Menteri Sumber Manusia itu berkata, Hamzah dan Saravanan perlu menjelaskan pendirian mereka berhubung perkara itu dan sebab mengapa berlakunya kenyataan tidak konsisten antara mereka.

“Saya menggesa kedua-dua menteri ini berdepan dengan orang ramai dan menjelaskan apakah pendirian mereka mengenai perkara itu dan mengapa ia tidak konsisten sedangkan mereka daripada kerajaan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Adakah mereka sempat membaca laporan jawatankuasa bebas mengenai pekerja asing yang secara khusus mengatakan hanya Kementerian Sumber Manusia patut mengendalikan pekerja asing?”

Kula mempersoalkan niat Hamzah dalam isu itu dan jika terdapat “agenda tersembunyi” di pihaknya.

“Mengapa beliau menyusahkan rakyat Malaysia yang ingin mengambil pembantu rumah? Kementerian Dalam Negeri menyusahkan kehidupan semua orang dan rakyat Malaysia juga kecewa,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan dan dasar kementerian saling bercanggah dan tidak konsisten sekali gus menggesa Kabinet dan Perdana Menteri campur tangan dan menyelesaikan perkara itu “sebelum negara sekali lagi dimalukan”.

“Selesaikan perkara itu sekali gus,” katanya.

Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Petahana Hermono mendakwa Hamzah dan Saravanan mengambil “pendirian berbeza” mengenai MoU berkait pengambilan pembantu rumah ke Malaysia.

Beliau dipetik berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa dua menteri itu membuat kenyataan bercanggah mengenai pendirian Malaysia berhubung MoU kepada Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan “percanggahan” yang dimaksudkannya itu.

“Saya tidak boleh mendedahkan secara terbuka apakah yang kedua-dua menteri itu katakan kepada Menteri Tenaga Kerja kami. Tetapi saya boleh katakan mereka (mengambil) pendirian berbeza. Saya tidak boleh berkata apa-apa tanpa (mewujudkan) fakta.”

Terdahulu, Hermono dilaporkan tidak puas hati atas pembabitan terhad Jabatan Imigresen Malaysia dalam rundingan MoU itu, selain menghantar pegawai “yang tidak boleh membuat keputusan” ke mesyuarat berkenaan.

Katanya, Indonesia memerlukan komitmen politik daripada Malaysia bahawa MoU pengambilan pembantu rumah dari republik itu dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya sebelum ia dimeterai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.