Taktik seludup 20 PATI naik bas persiaran tak menjadi

Taktik seludup 20 PATI naik bas persiaran tak menjadi

Semua 20 pendatang asing warga Myanmar selain dua individu termasuk seorang wanita tempatan dipercayai tekong ditahan.

Pihak berkuasa mengesan sebuah bas persiaran dan kereta jenis BMW yang mengiringi bas berkenaan yang disyaki tonto di Pohon Tanjung, Rantau Panjang, Kelantan, tengah malam kelmarin. (Gambar PGA9)
PETALING JAYA:
Taktik licik sindiket penyeludupan menyewa bas persiaran bagi mengangkut 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar gagal selepas ditahan pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Mannadzar Nasib berkata, semua PATI yang berusia dari 15 hingga 30 tahun itu ditahan 12.30 tengah malam kelmarin selepas pihaknya mengejar bas terbabit sejauh 30km.

Beliau berkata, pihaknya mengesan sebuah bas persiaran dan kereta jenis BMW yang mengiringi bas berkenaan disyaki tonto di Pohon Tanjung, Rantau Panjang, Kelantan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bas dan kereta terbabit memecut laju dan cuba melanggar anggotanya.

Mannadzar berkata, kereta BMW berkenaan berhenti sebaik tiba di Jalan Baroh Pial menghala ke Tanah Merah dan pemandu kereta terbabit cuba melanggar polis menyebabkan mereka terpaksa melepaskan dua das tembakan.

“Namun pemandu kereta terbabit terus memecut laju dan terbabas sebelum melarikan diri manakala bas yang dinaiki PATI berjaya dipintas di hadapan sebuah pasar raya di Tanah Merah.

“Hasil pemeriksaan dalam bas persiaran berkenaan mendapati 20 warga Myanmar termasuk seorang wanita. Turut ditahan dua individu berusia 30-an, iaitu pemandu bas lelaki dan seorang wanita dipercayai tekong,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mannadzar berkata, sindiket berkenaan dikatakan menyewa khas bas itu untuk membawa PATI terbabit ke Kuala Lumpur.

“Kita mendapati mereka masuk ke Malaysia menggunakan pangkalan haram di Pohon Tanjung sebelum menaiki bas menuju ke Kuala Lumpur.

“Semua PATI berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala tekong terbabit disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

Beliau berkata, bas yang dirampas diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.