Suhaizan akur Puteri Wangsa diserah kepada MUDA

Suhaizan akur Puteri Wangsa diserah kepada MUDA

Naib Pengerusi Amanah Johor itu berkata semua pihak perlu menerima keputusan berkenaan kerana PH dan MUDA mempunyai matlamat sama untuk menjatuhkan Umno.

Naib Pengerusi Amanah Johor Suhaizan Kayat tidak terasa hati dengan keputusan Pakatan Harapan memberikan kerusi Puteri Wangsa kepada MUDA malah menyifatkan ia perkara biasa dalam politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Naib Pengerusi Amanah Johor Suhaizan Kayat mengambil sikap “berjiwa besar” walaupun tidak dicalonkan di DUN Puteri Wangsa susulan kerusi itu diberikan kepada MUDA.

Beliau tidak terasa hati dengan “keputusan” Pakatan Harapan (PH) itu malah menyifatkan ia perkara biasa dalam politik.

“Kita orang politik, biasalah, kita kena berjiwa besar hadapi cabaran lebih besar,” katanya kepada FMT.

Semalam, Amanah dan DAP mengumumkan kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor dengan enam daripadanya diberikan kepada MUDA.

Salah satu kerusi iaitu DUN Puteri Wangsa dilihat paling berpotensi untuk dimenangi memandangkan PH (sebelumnya Pakatan Rakyat) berjaya menang di kawasan itu selama dua penggal.

Terdahulu, Amanah dikatakan menamakan Suhaizan sebagai calon mereka di DUN itu sebelum kerusi berkenaan diberikan kepada MUDA.

Penyerahan kerusi itu mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa pihak termasuk Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis yang telah memulakan gerak kerja kempen untuk Amanah di DUN berkenaan bagi menghadapi PRN 12 Mac ini.

Napsiah turut mempersoalkan tindakan itu kerana baginya DUN Puteri wangsa merupakan kerusi mudah menang serta MUDA sebagai parti baharu, tidak bersama dalam gabungan PH.

Mengulas perkara itu, Suhaizan berkata semua pihak harus menerimanya kerana PH dan MUDA mempunyai matlamat sama iaitu menjatuhkan Umno.

“(Tak puas hati) tu pandangan masing-masing, semua boleh bagi pelbagai pandangan, akhirnya kita tak boleh elak buat keputusan.

“Bila keputusan telah diambil, yang penting kita nak jatuhkan Umno terutamanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.