Rakaman CCTV bongkar cubaan lelaki sabotaj warga Pakistan

Rakaman CCTV bongkar cubaan lelaki sabotaj warga Pakistan

Tindakan suspek dipercayai ada kaitan dengan pertikaian dalam perniagaan komputer riba.

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki keluar dari sebuah kereta dan meletakkan dadah di bawah tempat duduk motosikal warga Pakistan itu. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Polis Wangsa Maju sedang memburu seorang lelaki kerana disyaki mensabotaj seorang warga Pakistan dengan meletakkan dadah di bawah tempat duduk motosikalnya akibat pertikaian perniagaan.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku 30 Jan lalu, ketika sepasukan anggota polis menyerbu pangsapuri didiami lelaki Pakistan itu selepas menerima maklumat berhubung dadah berkenaan.

Bagaimanapun, serbuan polis gagal menemui dadah dalam rumah berkenaan. Mereka kemudian memeriksa motosikal milik lelaki asing itu dan menemui 24g ganja di bawah tempat duduk kenderaan itu.

“Ketika disoal siasat, lelaki itu memberitahu dia tidak tahu mengenai dadah itu,” kata sumber sambil menambah ujian mendapati lelaki terbabit negatif dadah.

“Kami percaya dia tidak bersalah dan apabila memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami nampak seorang lelaki keluar dari sebuah kereta dan meletakkan dadah di bawah tempat duduk motosikal itu.”

Sumber berkata, lelaki itu kemudian memberitahu polis mengenai masalah yang dihadapi dalam perniagaan komputer ribanya.

Lelaki itu mendedahkan beliau diugut seseorang atas pertikaian dalam perniagaannya.

Polis sedang memburu suspek terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.