
Dennis Ignatius berkata, berdasarkan amalan sebelum ini, keputusan Jemaah Menteri tidak diperlukan apabila kerajaan membuat sumbangan seperti itu walaupun ia memerlukan kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri.
“Bagi mengelakkan kekeliruan, saya rasa Wisma Putra patut mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan situasi berkenaan.
“Duta Khas tidak mempunyai kuasa untuk membuat sumbangan seperti itu tanpa merujuk kepada Pejabat Perdana Menteri,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa Malaysia berjanji untuk menyediakan bantuan kemanusiaan dan ekonomi kepada Afghanistan termasuk membantu membina semula negara itu.
Jurucakap kerajaan itu, Suhail Shaheen baru-baru ini berkata, jaminan bantuan terbabit diberikan oleh Hadi, Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah di Qatar.
Ikrar Hadi itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada pembangkang apabila pemimpin Amanah mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Marang terbabit mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Namun Ignatius berkata, pengiktirafan terhadap rejim Taliban perlu dipisahkan daripada keperluan menyediakan bantuan kemanusiaan segera untuk rakyat Afghanistan.
Katanya, Malaysia mesti melakukan semua yang boleh bagi membantu negara itu, yang menurut agensi bantuan antarabangsa, kini menghadapi krisis bencana.
“Jadi saya memuji keputusan memberikan bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Ignatius, yang berpengalaman selama 36 tahun dalam perkhidmatan luar negeri menyuarakan harapan agar Putrajaya bersama-sama kerajaan lain membuat penegasan supaya rejim Taliban menghormati hak asasi manusia rakyatnya.
Katanya, rejim itu tidak boleh kembali kepada “cara mundur, kejam dan kuno masa lalu”.