Pembukaan sempadan, kenaikan harga, penting untuk pengundi Johor

Pembukaan sempadan, kenaikan harga, penting untuk pengundi Johor

Penganalisis berkata ia menjadi antara isu yang mempengaruhi sentimen pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.

Pengundi Johor ingin tahu bilakah sempadan negeri itu dengan Singapura akan dibuka sepenuhnya, kata penganalisis. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Persoalan sama ada sempadan Johor-Singapura akan dibuka sepenuhnya adalah antara isu utama yang menjadi tumpuan pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, menurut penganalisis politik.

Shahrill Sabarudin, yang menjalankan penyelidikan mengenai politik Johor berkata, pengundi lebih berminat untuk mengetahui apakah rancangan yang dibuat untuk memastikan sempadan dibuka sepenuhnya.

“Pelaksanaan VTL (Laluan Perjalanan Vaksinasi) baru-baru dipenuhi dengan banyak jangkaan dan diharapkan sempadan akan dibuka sepenuhnya berbanding penggunaan bas dan penerbangan yang terhad ketika ini disebabkan risiko penularan varian Omicron.

“Bagi kebanyakan perniagaan, pasangan dan pekerja yang bergantung pada pembukaan sempadan, ini adalah sesuatu yang perlu ditangani dengan teliti dalam PRN,” katanya.

Shahrill berkata, satu lagi perkara yang memberi pengaruh besar terhadap sentimen pengundi ialah bagaimana parti-parti yang bertanding boleh memberi jaminan untuk meningkatkan kehidupan rakyat.

“Ini yang membuatkan rakyat tertanya-tanya bagaimana untuk meneruskan kehidupan dan apakah masa depan yang menanti untuk mereka,” katanya.

Secara khususnya katanya, isu yang timbul ialah kenaikan harga makanan semasa dan sama ada gaji minimum akan dinaikkan.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan, kadar inflasi Johor (3.4%) melepasi kadar nasional (3.2%) pada Dis 2021.

Manakala itu harga makanan dan minuman bukan alkohol di negeri itu juga meningkat 3.7%, lebih tinggi daripada purata nasional iaitu 3.2% pada Dis.

Isu tempatan lain yang akan mempengaruhi sentimen pengundi termasuk peluang pekerjaan, khususnya yang berkemahiran tinggi.

Shahrill berkata, pengangguran berkaitan kemahiran berada pada paras 37.7% pada suku ketiga 2021 bagi seluruh negara.

“Peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kekal terhad dan ketidakpadanan pekerjaan terus menjadi isu struktur yang penting di Johor dan negeri lain,” katanya.

Katanya, isu mengenai tadbir urus dan akauntabiliti awam juga menjadi tumpuan dalam kalangan pengundi muda dan bandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.