
Kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Umar Mohd Shahid, 23, dikatakan sedang melakukan kerja menyusun dan mengikat kotak berkenaan di dalam kontena.
Ketua Polis Daerah Jasin, Mispani Hamdan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian oleh pasukan bomba dan penyelamat pada 8.10 pagi.
“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa sedang mengikat kotak dalam kontena,tetapi dia dipercayai terlanggar kayu penahan yang menyebabkan kotak itu menghempapnya,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Rahizam Ruzali berkata, sepasukan 12 anggota pergi ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.
“Difahamkan mangsa berada dalam kontena bersama pemandu forklift sebelum dihempap kotak berisi kaca itu.
“Pasukan mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengalihkan sisa dan ia dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan kaca terkena mangsa yang boleh menyebabkan kecederaan lebih teruk,” katanya.
Rahizam berkata, mangsa ditemui selepas semua kaca dialihkan dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.