Hanya 1 daripada 7 kematian OKT melibatkan unsur jenayah

Hanya 1 daripada 7 kematian OKT melibatkan unsur jenayah

Daripada tujuh kes yang dilaporkan itu, empat daripadanya merupakan kematian dalam lokap, dua kes meninggal dunia di hospital, manakala satu kes melibatkan kematian ketika dalam perjalanan ke hospital.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad berkata, daripada tujuh kes yang dilaporkan, empat merupakan kematian dalam lokap manakala dua lagi meninggal di hospital.
KUALA LUMPUR:
Polis mengesahkan setakat ini terdapat tujuh kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dengan hanya satu kes melibatkan unsur jenayah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad berkata, daripada tujuh kes yang dilaporkan itu, empat daripadanya merupakan kematian dalam lokap.

Katanya, dua lagi kes meninggal dunia di hospital manakala satu kes melibatkan kematian ketika OKT dalam perjalanan ke hospital.

“USJKT (Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan) JIPS yang ditubuhkan pada 1 Jan lepas memberi jaminan bahawa setiap kes kematian dalam tahanan atau jagaan polis akan disiasat secara telus tanpa sebarang kompromi.

“USJKT akan memajukan enam kes yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut sama ada memerlukan inkues atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini.

Azri berkata, bagi mengatasi masalah ini, polis mencadangkan untuk mewujudkan klinik bersepadu di setiap lokap bagi memantau tahap kesihatan OKT namun ia masih lagi di peringkat cadangan kerana memerlukan kos yang besar.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang dibuat oleh PDRM setakat ini, sekiranya ada OKT yang mengalami masalah kesihatan kami akan rujuk kepada hospital berdekatan, “ katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai USJKT, beliau berkata, pihaknya akan mempertingkatkan integriti polis dalam siasatan kes kematian dalam tahanan.

Selain itu Azri berkata, JIPS akan mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis dan memastikan tindakan undang-undang diambil jika terdapat bukti kukuh salah laku dalam kes ini.

“USJKT ditubuhkan untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap PDRM dalam pengurusan kes kematian dalam tahanan. Jika berlaku kematian dalam tahanan, ia boleh menjadi kes yang sensitif maka inilah peranan USJKT,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, USJKT ditubuhkan pada 1 Jan lepas untuk menyiasat kes kematian sewaktu berada dalam tahanan dan penubuhannya bertujuan memperbaiki imej dan integriti polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.