Dana RM300 juta bantu PKMS terjejas banjir, kata PM

Dana RM300 juta bantu PKMS terjejas banjir, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata, geran dan pinjaman tanpa faedah akan diberikan kepada mereka yang terjejas.

Ismail Sabri Yaakob berkata, geran bernilai RM3,000 akan diberikan kepada setiap perniagaan mikro dan informal, selain RM10,000 dalam bentuk pinjaman tanpa faedah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hampir RM300 juta bantuan kewangan akan disediakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir Disember lalu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan memberi geran bernilai RM3,000 kepada setiap perniagaan mikro dan informal serta RM10,000 dalam bentuk pinjaman tanpa faedah.

“Kerajaan akan terus komited dalam usahanya meringankan beban semua golongan yang terjejas akibat banjir seperti PMKS dan pengusaha agromakan dengan sentiasa bersedia untuk menyediakan bantuan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, geran RM3,000 akan diberikan melalui TEKUN Nasional dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta.

Katanya, tambahan RM50 juta akan disediakan melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) dengan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah, di mana tempoh bayar balik adalah sehingga 5 tahun dengan moratorium 12 bulan.

Bagi sektor pertanian, Ismail berkata, menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), RM20 juta diperuntukkan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).

Sebelum ini, RM21 juta telah diberikan kepada petani yang terjejas akibat banjir pada Disember lalu dan kini, pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir akan menerima bantuan tunai sehingga RM1,800 sehektar, dengan had maksimum sehingga 3 hektar.

Bagi pengusaha pertanian lain pula, katanya, RM50 juta tambahan akan disediakan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

“Petani, penternak dan peladang yang terjejas akibat kerosakan banjir, layak memohon bantuan sehingga maksimum 50% daripada jumlah kerugian.”

Ismail berkata, pada Disember lalu, kerajaan menawarkan pinjaman RM500 juta untuk bantuan bencana bagi perusahaan kecil dan sederhana sehingga RM700,000 pada kadar faedah sehingga 3.5% setahun, dengan moratorium pembayaran balik selama enam bulan.

Pada masa itu, katanya, RM30 juta lagi diperuntukkan kepada usahawan perniagaan mikro dan tidak formal yang ingin membuat pinjaman RM10,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.