Akta dana politik perlu untuk elak sumber haram, kata Azam Baki

Akta dana politik perlu untuk elak sumber haram, kata Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata ketika ini sukar membezakan pemberian dana politik dengan rasuah, namun siasatan tetap dijalankan sekiranya menerima laporan.

Azam Baki mengakui menerima laporan berhubung penawaran wang untuk wakil rakyat melompat parti, namun kesalahan itu sukar dibuktikan.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyokong usaha mewujudkan akta dana politik untuk memastikan sumber kewangan yang diperolehi parti bukan daripada saluran haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, ketika ini sukar untuk membezakan pemberian dana politik dengan rasuah, namun siasatan tetap dijalankan sekiranya menerima laporan.

“Dana (politik) yang kita tidak tahu daripada mana datangnya, kita bimbang ia adalah dana haram. Undang-undang perlu diadakan bagi tujuan mengawal dana yang diterima parti politik daripada sumber yang tidak dapat dipastikan.

“Ini kerana dana yang datang itu berkemungkinan diperoleh daripada sumber-sumber haram,” katanya ketika ditemui di pejabat SPRM di sini.

Pada 20 Jan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju membentang dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Feb ini.

Keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebelum itu.

Azam turut mengakui menerima laporan berhubung penawaran wang untuk wakil rakyat lompat parti namun sukar untuk dibuktikan kesalahan itu.

“Saya tidak menafikan SPRM pernah menerima laporan berhubung penawaran wang untuk ahli politik melompat parti tetapi tiada kes yang boleh dibuktikan sama ada wang dibayar,” katanya.

Katanya, Malaysia wajar mengambil contoh beberapa negara lain yang mempraktikkan akta pembiayaan dana politik.

Ini kerana Azam berkata, pada masa yang sama ahli politik dapat membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mengamalkan kepimpinan telus dan berintegriti.

“Ketika ini negara kita tidak mempunyai undang-undang khusus berhubung pembiayaan dana politik. Sekiranya ahli politik dan Parlimen mewujudkan akta ini, ia perlu disokong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.