SPRM panggil saksi skandal MARA esok, kata Azam

SPRM panggil saksi skandal MARA esok, kata Azam

Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata, setiausaha syarikat dan beberapa individu dari jabatan pengurusan yang meluluskan tuntutan lima pegawai kanan MARA antara yang akan dipanggil.

Azam Baki berkata, setiausaha syarikat dan beberapa individu daripada Jabatan Pengurusan MARA akan dipanggil bagi membantu siasatan esok.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa saksi mulai esok dalam siasatan ke atas lima pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhubung tuntutan bayaran mereka.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata, antara yang dipanggil ialah setiausaha dan pihak pengurusan yang meluluskan tuntutan itu yang didakwa mencecah ratusan ribu ringgit.

“Mereka kena buktikan sekiranya ada minit mesyuarat yang meluluskan tuntutan berkenaan. Kalau ada kelulusan makanya tiada kes dan jika tiada kita kena tengok dokumen-dokumen lain kerana ini bukan melibatkan pengubahan wang tetapi hanya melibatkan (tuntutan) bayaran.

“Biasanya orang pertama yang kita akan panggil adalah setiausaha yang urus mesyuarat… jika ada keputusan minit mesyuarat yang membenarkan (tuntutan) atau dia tidak tahu langsung…kita boleh dapat bukti daripada minit mesyuarat.

“Kedua, pihak pengurusan kerana mereka yang uruskan bayaran, pelantikan dan sebagainya. Sudah tentu ‘payment department’ akan dipanggil untuk tunjukkan bukti bayaran itu untuk apa, siapa yang luluskan dan bila diluluskan,” katanya di sini.

Semalam, agensi penguat kuasa itu menyerbu ibu pejabat MARA di Kuala Lumpur berhubung siasatan isu integriti dan penyalahgunaan kuasa untuk faedah diri sendiri.

Beberapa pegawai SPRM turut menyerbu dua bangunan lain yang mempunyai kaitan dengan MARA, iaitu MARA Corporation di kawasan yang sama dan syarikat setiausaha korporatnya, Prudenz CorporateHouse Sdn Bhd.

Ini susulan dakwaan salah laku membabitkan bayaran “undur tarikh” oleh lima pegawai MARA dalam satu program “persenyawaan silang”.

Tuduhan ini dibuat oleh akaun Twitter Edisi Khas yang “mendedahkan” surat dalaman yang didakwa mengenai penyalahgunaan kuasa oleh pegawai.

Kelima-lima pegawai tersebut menafikan dakwaan terhadap mereka dan membuat laporan polis secara berasingan berhubung perkara itu semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.