MPN setuju sempadan dibuka seawal 1 Mac, kata Muhyiddin

MPN setuju sempadan dibuka seawal 1 Mac, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan sempadan perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Ujian Covid-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan, menurut Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.

Bagaimanapun Pengerusi MPN Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

“Majlis mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya dalam masa terdekat bagi menyokong usaha pemulihan negara. Dalam hubungan ini, Majlis bersetuju supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac 2022 tanpa keperluan kuarantin wajib.

“Namun begitu ujian Covid-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan. Pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat MPN kedua tahun ini dan mendengar taklimat Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenai situasi dan perkembangan terkini Covid-19, terutamanya mengenai penularan varian Omicron.

Menurutnya, walaupun terdapat peningkatan kes harian, strategi pemberian dos penggalak vaksin dan langkah kawalan Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya menurunkan kemasukan kes Kategori 3 hingga 5 ke hospital.

“Malaysia antara negara yang mempunyai peratusan tertinggi lengkap vaksin di dunia dengan 98% populasi dewasa dan lebih 78% populasi negara lengkap menerima dos vaksin,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama Muhyiddin berkata, MPN turut mencadangkan supaya pelarasan semua bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana dilaksanakan secara sistematik.

“Ini bagi meningkatkan penggunaan sumber yang lebih optimum, bersasar dan berlandaskan keperluan supaya tiada pertindihan berlaku dan lebih ramai pengusaha yang betul-betul terjejas dapat terus menerima bantuan,” katanya.

“Kita juga mengambil maklum bahawa industri pembinaan amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dalam proses pemulihan negara. Majlis menyokong cadangan-cadangan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk penyelesaian segera dan penyelesaian jangka masa panjang bagi isu yang lebih struktural.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.