4 pelajar USIM cedera, bas terbabas di Nilai

4 pelajar USIM cedera, bas terbabas di Nilai

Menurut bomba empat pelajar tersebut masing-masing mengalami kecederaan di tangan dan di bahagian tulang belakang.

Bas membawa 17 pelajar perempuan USIM dipercayai terbabas kemungkinan berpunca daripada tumpahan minyak, menurut bomba. (Gambar bomba)
SEREMBAN:
Empat pelajar perempuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cedera selepas bas persiaran yang dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kemalangan di Bandar Baru Nilai, di sini pagi tadi.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Raihan Che Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu kira-kira 7.40 pagi.

Beliau berkata, empat pelajar tersebut masing-masing mengalami kecederaan di tangan dan di bahagian tulang belakang.

“Bas itu membawa 17 pelajar dan sedang dalam perjalanan ke USIM. Kami menerima laporan mengenai tumpahan minyak di atas jalan raya berhadapan McDonald’s di Bandar Baru Nilai…dan bas dipercayai terbabas kemungkinan berpunca daripada tumpahan minyak itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, kesemua pelajar terbabit dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dengan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.