Belum tetap tarikh meterai MoU amah, kata Duta Indonesia

Belum tetap tarikh meterai MoU amah, kata Duta Indonesia

Hermono berkata, hanya 70% isu dalam perjanjian itu diselesaikan, dengan beberapa keputusan penting belum dibuat.

Hermono berkata, Indonesia mahu memastikan rakyatnya dilindungi daripada penderaan dan pemerdagangan manusia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Belum ada tarikh ditetapkan untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pembantu rumah antara Malaysia dan Indonesia, kata Duta Besar republik itu, Hermono.

Beliau berkata, hanya 70% isu yang diselesaikan, oleh itu Indonesia terkejut dengan pengumuman minggu lalu yang MoU berhubung pengambilan pembantu rumah akan dimeterai hari ini.

Katanya, tiada tarikh mahupun sebarang pengesahan mengenai pemeteraian itu dibincangkan dalam pertemuan Menteri Sumber Manusia kedua-dua negara pada 24 Jan lalu.

Pada 19 Jan lalu, Menteri Sumber Manusia Malaysia, M Saravanan berkata, beliau akan menemui Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah untuk memuktamadkan butiran MoU yang akan ditandatangani 7 dan 8 Feb di Bali.

Hermono berkata, isu utama yang belum diselesaikan itu ada kaitan dengan visa pembantu rumah.

Indonesia mahu memansuhkan sistem untuk rakyatnya memasuki Malaysia menggunakan visa pelancong dan kemudian memohon penukaran kepada permit kerja.

“Kami mahu ini dimansuhkan kerana ia menyebabkan pemerdagangan dan penderaan rakyat kami disebabkan kebanyakan mereka tidak terlatih dan tidak tahu cara mengendalikan diri memandangkan mereka datang dari kampung pedalaman di Indonesia.

“Kaedah ini membawa kepada pengambilan secara langsung, yang bermakna kerajaan kami tidak mempunyai rekod pekerja dan siapa majikan mereka. Ia memintas kerajaan Indonesia sama sekali,” katanya sambil menambah mereka juga tidak tahu butiran kontrak.

Hermono berkata, kebimbangan lain ialah wakil Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen perlu menyertai mesyuarat yang dirancang pada 10 Feb ini.

“Kami meminta delegasi Malaysia disertakan pegawai dari agensi ini, jadi ia belum disahkan lagi.”

Katanya, mereka mahu pihak penguatkuasaan Malaysia tahu sepenuhnya klausa dalam MoU itu kerana tidak mahu rakyatnya didera seperti dahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.