
Presidennya, N Marimuthu, berkata pihaknya meminta bank itu menyiasat sama ada “kesilapan pemprosesan” oleh bank menyebabkan sejumlah pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka atau terdapat unsur penipuan.
“FOMCA meminta CIMB menyiasat sama ada kesilapan itu berpunca daripada kerja ‘orang dalam’.
“Kami faham kesilapan berlaku, tetapi punca kesilapan besar itu mesti dipastikan dan tindakan diambil kerana ia akan menjejaskan keyakinan bank di negara ini,” katanya kepada FMT.

Marimuthu berkata, memandangkan kesilapan terletak pada CIMB, ia tidak sepatutnya menghukum pelanggan yang terjejas.
Katanya, FOMCA dimaklumkan terdapat beberapa kes melibatkan jumlah yang besar dan pelanggan telah mengeluarkan dan sudah membelanjakan wang itu. Ini menjadikan keadaan lebih rumit bagi bank untuk mendapatkan semula dana.
Justeru, katanya, FOMCA juga menggesa pelanggan yang terjejas supaya jujur dan tidak mengambil kesempatan daripada kesilapan dengan mengambil wang bukan milik mereka.
“Jika anda tahu wang itu mungkin bukan milik anda, ketahui dan jelaskan dengan bank sebelum membelanjakannya,” kata Marimuthu.
Pada Khamis, Bank Negara (BNM) memberitahu FMT bahawa CIMB cuba mendapatkan semula jumlah lebihan dikreditkan kepada pelanggannya.
Bank pusat itu berkata, pihaknya telah meminta CIMB memastikan bahawa apa sahaja langkah “pemulihan” yang diambilnya tidak akan membebankan pelanggan, terutama mereka tidak menyedari bahawa lebihan wang telah mengalir ke dalam akaun mereka.
Katanya lagi, siasatan terhadap insiden itu sedang dijalankan dan akan mengambil tindakan penyeliaan serta penguatkuasaan sewajarnya jika perlu.
CIMB, dalam kenyataan kepada FMT berkata, ralat pemprosesan berkaitan dengan perkhidmatan kiriman wang kewangan pihak ketiga tertentu menyebabkan pemindahan dibuat kepada pelanggan diproses dua kali secara tidak sengaja.
“Ini mengakibatkan pelanggan yang terjejas menerima kredit pendua ke dalam akaun mereka, iaitu transaksi pendua yang secara berkesan menggandakan jumlah dana diterima oleh pelanggan.”
Katanya, CIMB cuba mendapatkan semula pembayaran yang tersilap dibuat kepada pelanggan.