
Pada 22 Jan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), membuka laluan untuk PRN diadakan sebelum 23 Mac.
Majoriti dipegang kerajaan Barisan Nasional/Perikatan Nasional berkurangan kepada hanya satu kerusi pada Disember berikutan kematian ADUN Kempas Osman Sapian, yang mencetuskan spekulasi bahawa pilihan raya akan menyusul tidak lama lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pengundian dan penamaan calon pada 9 Feb. Namun spekulasi, bukan sahaja mengenai tarikh malah calon, telah mula berlegar.
Tokoh-tokoh penting seperti bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Khaled Nordin telah mengumumkan mereka tidak akan terbabit, manakala parti MUDA dikhabarkan akan mencalonkan presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Sama ada prosedur operasi standard (SOP) akan jauh berbeza daripada di Melaka dan Sarawak juga akan menjadi bahan perbincangan. Menurut pihak pembangkang, peraturan sebelum ini merugikan mereka pada PRN dan kali ini, mereka meminta kelonggaran.
Apa yang berlaku dalam tempoh dua bulan akan datang akan menjadi petunjuk penting.
Umno, yang baru menang besar di Melaka, mempunyai momentum menuju pertembungan di Johor, dan satu lagi kemenangan boleh memberi keyakinan kepada kepimpinan parti bahawa ia dapat bersandar kepada sokongan yang besar menuju PRU.
Bagi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), ini adalah peluang untuk menebus maruah. Masing-masing tidak menunjukkan prestasi yang baik kebelakangan ini, namun pencapaiannya di Johor dapat meyakinkan mereka bahawa mereka dapat bertanding dengan jayanya apabila Parlimen dibubarkan.
Kepimpinan di Putrajaya mungkin terjejas, walaupun bukan secara langsung. Satu lagi kemenangan besar buat Umno membayangkan sokongan kembali kepada parti itu, yang mengalami kekalahan memalukan dalam PRU pada 2018.
Keadaan seolah-olah menampakkan “luka baharu” kini muncul, seperti pengendalian bencana banjir pada Disember lalu oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden Umno, yang rata-rata dikecam hebat.
Walaupun PRN lazimnya tidak sebesar PRU, ramai yang akan memerhatikan jejak kempen dan keputusannya, mencari petunjuk mengenai masa depan Putrajaya.