Guna logo sendiri dalam PRN Johor taktik untuk menang, kata pemimpin PKR

Guna logo sendiri dalam PRN Johor taktik untuk menang, kata pemimpin PKR

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak menolak partinya akan menggunakan logo sendiri dalam PRU akan datang.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, logo PKR lebih dikenali berbanding DAP dan Amanah memandangkan parti itu berdepan kekangan di beberapa kawasan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan PKR menggunakan logo sendiri manakala DAP dan Amanah menggunakan logo gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor lebih kepada taktik memenangi PRN itu.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, logo PKR lebih dikenali berbanding DAP dan Amanah memandangkan parti itu berdepan kekangan di beberapa kawasan.

“Soal logo ini taktik, bagi saya, saya setuju logo bukan segalanya, tetapi itu taktik PKR nak memenangi undi dalam kalangan jentera dan penyokong, sebab logo kita dikenali lama, logo roket (DAP) ada kekangan di kawasan tertentu.

“Logo Amanah mungkin tak dikenali, jadi itu pilihan mereka guna logo PH dalam PRN Johor dan pilihan kami logo guna PKR sebagaimana di Sarawak, setiap parti dalam PH guna logo masing-masing.

Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Yang penting rakyat bukan sangat fokus soal logo atau masalah PH, mereka fokus tentang sama ada PH dan PKR membawa atau tidak soal isu periuk nasi, pekerjaan, gaji, anak-anak tak boleh ke universiti, itu yang menjadi persoalan terbesar mereka,” katanya kepada FMT.

Ditanya sama ada langkah itu sebagai gambaran awal pendekatan sama akan digunakan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, Nik Nazmi tidak menolaknya.

Katanya, majoriti ahli PKR mahu parti menggunakan logo sendiri dalam PRU.

“Saya rasa itu harapan besar komponen ahli PKR (mahu guna logo sendiri), tapi sebarang keputusan muktamad akan dibuat dalam perbincangan pada masa akan datang,” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan FMT dimana seorang ahli akademik mengingatkan PH bahawa peluang mereka untuk memenangi PRN Johor terjejas teruk disebabkan persepsi rakyat mereka tidak bersatu.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, tiada gunanya pemimpin PKR Anwar Ibrahim meremehkan ura-ura mengenai pembangkang tidak bersatu berikutan keputusan partinya menggunakan logo sendiri pada PRN.

Katanya, sebilangan pengundi akan mempersoalkan keupayaan PH untuk membentuk kerajaan memandangkan ia tidak dapat bersetuju mengenai penggunaan logo yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.