Usah pertikai kesetiaan PAS bersama PN, kata Muhyiddin

Usah pertikai kesetiaan PAS bersama PN, kata Muhyiddin

Pengerusi PN berkata, PAS sejak awal bersama Bersatu dalam PN sebelum disertai parti Gerakan

Muhyiddin Yassin pada pelancaran Jualan Prihatin Rakyat di Pagoh hari ini berkata, pembahagian kerusi antara PAS, Bersatu dan Gerakan pada PRN Johor akan dimuktamadkan hujung minggu ini. (Gambar Bernama)
MUAR:
Kesetiaan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) tidak perlu dipertikaikan memandangkan parti itu telah bersama Bersatu dalam gabungan tersebut sejak awal lagi, kata Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, keberadaan PAS sejak awal bersama Bersatu dalam PN adalah bukti sebelum ia kemudiannya disertai parti Gerakan.

“PAS adalah antara parti pengasas (dalam PN) yang sehingga hari ini masih kekal, jadi jangan dipertikaikan, jangan dipersoalkan kesetiaan dan istiqamah PAS bersama (PN).

“Kami (juga) baru selesai mengadakan muzakarah (bersama PAS) dan kami dah bentang resolusi dan sebagainya serta ‘total’ komitmen parti-parti dalam PN,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Jualan Prihatin Rakyat di Dataran FAMA Pagoh Jaya, dekat sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian dan kenyataan pemimpin PAS kebelakangan ini sama ada bersama PN atau kekal dalam Muafakat Nasional (MN).

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pendirian PAS pada pilihan raya negeri (PRN) Johor sudah jelas dengan parti di bawah PN muktamad untuk bertanding di bawah tiket PN.

“Di Johor tidak begitu, itu (pendirian PAS) dah dimuktamadkan, bermakna kami sudah tetapkan kerusi yang kami bertanding atas nama PN. Kami tak sebut PAS atau Gerakan. Kami tahu siapa musuh kami, siapa yang harus kami hadapi, itu dah selesai, tiada isu berbangkit dalam kalangan kami,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Berhubung pengagihan kerusi antara Bersatu, PAS dan Gerakan, Muhyiddin berkata, ia akan dimuktamadkan menjelang hujung minggu ini.

Sementara itu beliau berkata, Jualan Prihatin Rakyat tersebut akan turut diperluaskan kepada empat atau kawasan lain di negeri itu tidak lama lagi dalam usaha PN membantu meringankan beban rakyat.

Jualan tersebut yang menawarkan sepapan telur, seekor ayam dan beras lima kilogram dengan harga RM20 boleh didapati menerusi belian terus dan pandu lalu di beberapa lokasi terpilih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.