Segerakan permohonan undi pos, kata Ahli Parlimen

Segerakan permohonan undi pos, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata 'tiada alasan' mengapa permohonan untuk undi pos tidak boleh dibuat sekarang.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menggesa agar permohonan undi pos untuk pilihan raya negeri Johor akan datang dilaksanakan segera. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Permohonan undi pos untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang mesti dilakukan segera, kata Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, “tiada alasan” mengapa permohonan itu tidak boleh dibuat sekarang.

“Saya menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan pengundi PRN Johor di luar negara didaftarkan sebagai pengundi pos segera,” katanya dalam kenyataan.

“Pada PRN Melaka, pengundi di luar negara hanya diberikan masa 13 hari untuk mendaftar. Tidak ada alasan mengapa permohonan undi pos dalam talian tidak boleh dimulakan sekarang untuk PRN Johor.”

Teo berkata, ia akan menjadi pilihan raya yang “menarik” dan “memberi harapan” kepada rakyat Johor di negeri itu dan di luar negara memandangkan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik telah berkuat kuasa.

PRN Johor diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Jan.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Feb untuk menetapkan tarikh hari penamaan dan mengundi yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.