Hadi bertemu wakil Taliban di Doha, bincang bantuan ekonomi, kemanusiaan

Hadi bertemu wakil Taliban di Doha, bincang bantuan ekonomi, kemanusiaan

Wakil tetap PBB Taliban Muhammad Suhail Shaheen memaklumkan, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Hadi Awang berjanji untuk membantu rakyat Afghanistan.

Abdul Hadi Awang ketika melakukan lawatan kerja empat hari ke Qatar bermula 31 Jan lalu sehingga hari ini. (Gambar Facebook Hadi Awang)
PETALING JAYA:
Wakil tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Taliban, Mohammed Suhail Shaheen, memaklumkan pertemuan beliau dengan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang di Doha, Qatar, semalam.

Dalam ciapan di Twitter, Suhail berkata, delegasi dari pejabat politik Taliban turut hadir pada pertemuan itu.

“Kami membincangkan situasi semasa dalam negara dan keperluan menyediakan bantuan ekonomi dan kemanusiaan kepada Afghanistan.

“Beliau (Abdul Hadi) berjanji Malaysia akan melakukan apa yang mampu untuk membantu rakyat Afghanistan dalam waktu kritikal ini,” katanya.

Suhail berkata, kedua-dua pihak turut menekankan perlunya lawatan delegasi dari kedua-dua negara ke ibu negara masing-masing untuk meningkatkan hubungan bersama.

Terdahulu, Bernama melaporkan, Malaysia menzahirkan kesediaan membuka pintu kerjasama baharu dengan Qatar khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebajikan, serta bekerjasama dalam usaha pembangunan semula Afghanistan termasuk penyelarasan misi bantuan kemanusiaan.

Ia adalah antara fokus utama yang dibawa adi Awang, ketika melakukan lawatan kerja empat hari ke Qatar, bermula 31 Jan lalu sehingga hari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu, hari ini, lawatan Hadi ke Qatar itu mendapat mandat serta persetujuan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Tujuan lawatan ini adalah untuk terus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar yang sedia terjalin, serta membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama di rantau Timur Tengah dan umat Islam seluruhnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Hadi telah mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Qatar dan pemegang taruh utama negara itu sepanjang lawatannya di Doha.

Hadi telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Khalid Khalifa Abdulaziz Al Thani, Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Sheikh Mohamed Hamad Qassim Al-Abdullah Al-Thani; Penolong Menteri Luar dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Lolwah binti Rashid Al-Khater.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Qatar Fund for Development (QFFD) Khalifa Jassem Al-Kuwari; Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Charity (QC) Yousef Ahmed Al-Kuwari; Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) Sheikh Ahmed Raissouni; dan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Sheikh Mohammed Suhail Shaheen.

Hadi turut mengadakan kunjungan ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Qatar yang baharu, serta bertemu rakyat Malaysia yang menetap di Qatar.

Pejabat Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu memaklumkan Hadi kini menjalani kuarantin di rumah mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.