NGO serah memo kepada Agong berhubung pengeluaran wang KWSP

NGO serah memo kepada Agong berhubung pengeluaran wang KWSP

Kumpulan berkenaan juga mendesak peletakan jawatan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, susulan tindakannya enggan membenarkan lagi pengeluaran KWSP dibuat.

Beberapa ahli badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia, berada di luar pekarangan Istana Negara hari ini bagi memohon Yang di-Pertuan Agong campur tangan dalam isu pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
KUALA LUMPUR:
Satu badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Istana Negara hari ini bagi memohon Yang di-Pertuan Agong campur tangan berhubung isu pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarum yang terdesak memerlukannya.

Memorandum berkenaan dihantar kepada wakil istana.

Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ProRakyat) juga mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran sekali keluar sebanyak RM10,000 milik pencarum daripada agensi simpanan persaraan berkenaan.

Jurucakapnya, Khairul Othman berkata, ramai rakyat menderita susulan pandemik Covid-19 yang masih berlanjutan, selain dilanda musibah banjir baru-baru ini.

“Banyak rakyat kehilangan pendapatan kerana pandemik atau menanggung kerugian besar akibat banjir.

“Ada juga baharu mendapat kerja dan memerlukan wang tambahan untuk memulakan kehidupan semula, manakala ada pula terpaksa mengeluarkan mencari wang untuk membaiki kediaman mereka yang rosak dilanda banjir,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Istana Negara selepas menyerahkan memorandum itu.

Khairul berkata, walaupun KWSP memberi manfaat kepada pencarum dalam tempoh panjang, namun situasi semasa yang tidak pernah berlaku memerlukan tindakan berbeza.

“Dana itu kepunyaan pencarum, jadi adalah adil membenarkan mereka mengeluarkan caruman masing-masing bagi kegunaan mendesak.”

Katanya, kumpulan NGO menyatakan mereka berjaya mendapatkan 100,000 tandatangan daripada pencarum KWSP untuk menyokong memorandum terbabit.

Kumpulan berkenaan juga mendesak peletakan jawatan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, susulan tindakannya enggan membenarkan pengeluaran KWSP dibuat lagi.

Khairul berkata, Zafrul perlu digantikan dengan individu yang lebih mementingkan rakyat dan tidak menyokong “kroni”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.