
Tampil bersama peguamnya, Manjeet Singh Dhillon, beliau menjawab 83 soalan daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas berhubung dua artikel yang ditulisnya, disiarkan tahun lepas.
“Keterangan saya setebal 15 halaman. Pegawai yang mengendalikan kes saya sangat profesional,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman.
Menurut Lalitha, beliau disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
Azam pada sidang media bulan lepas menjelaskan bahawa adiknya, Nasir, melakukan pembelian empat juta saham dan waran dalam syarikat tersenarai awam, pada 2015-2016 menggunakan akaun dagangan beliau.
Suruhanjaya Sekuriti melakukan inkuiri susulan penjelasan itu, yang mana ia mendapati tiada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).
Keterangan bebas yang diperolehi inkuiri ke atas akaun dagangan Azam menunjukkan bahawa Azam penama akaun saham dan mempunyai kuasa ke atas akaun itu; dan Azam mengendalikan akaun yang dibukanya itu, dan telah menyampaikan arahan untuk jual, beli, serta pemindahan saham daripada akaun tersebut.
Azam dalam kenyataan berkata SC memaklumkan bahawa siasatan terhadap perkara itu “telah dimuktamadkan” dan “telah menutup” fail inkuiri tersebut, dan menganggap keputusan SC itu sebagai “mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh saya”.