
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata, melalui usaha itu, permohonan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) boleh dibuat terus di laman sesawang upu.mohe.gov.my.
Katanya, tempoh permohonan ditetapkan bermula esok hingga 31 Mac bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan lepasan matrikulasi serta diploma atau setaraf.
“Kerajaan dan KPT khususnya amat prihatin akan kekangan serta kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin unik ID di Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membuat permohonan UPUOnline.
“Justeru, KPT berharap keputusan ini dapat meringankan beban dan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah,” katanya dalam kenyataan.
Tahun lepas, KPT memberi pengecualian bayaran itu kepada semua pemohon bagi sesi akademik 2021/2022.