Bina lebih banyak kuarters kediaman berpusat di tanah perindustrian, gesa Ahli Parlimen

Bina lebih banyak kuarters kediaman berpusat di tanah perindustrian, gesa Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata, ini akan 'kurang mengganggu' penduduk tempatan yang mungkin membantah CLQ dibangunkan di kawasan kediaman mereka.

Risalah menunjukkan kuarters kediaman berpusat 15 tingkat yang akan dibina untuk pekerja di Balakong, Selangor.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen menggesa lebih banyak kuarters kediaman berpusat (CLQ) untuk pekerja dibina di tanah perindustrian di seluruh negara berbanding di kawasan kediaman.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata, pembinaan CLQ di tanah perindustrian akan memudahkan pekerja berulang-alik ke tempat kerja.

Beliau menggesa langkah ini dibuat di negeri-negeri yang mempunyai estet perindustrian yang besar dengan jumlah pekerja asing yang ramai.

Dalam kenyataan, Ahli Parlimen DAP itu berkata, ini juga akan “kurang mengganggu” penduduk tempatan yang mungkin membantah CLQ dibangunkan di kawasan kediaman mereka.

Beliau berkata, CLQ harus mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 untuk memastikan pekerja dalam sektor perkilangan dilayan dengan baik dan bagi mengelak sebarang dakwaan penganiayaan.

“Kita lihat tindakan diambil oleh kerajaan Amerika Syarikat terhadap banyak (syarikat) pengeluar sarung tangan di Malaysia disebabkan dakwaan sebegitu,” katanya.

“Terbaru syarikat digugurkan daripada menjadi pembekal kepada pengeluar peralatan elektrik terkemuka disebabkan tuduhan melanggar undang-undang buruh,” katanya.

Menurut Ong, kerajaan Selangor baru-baru ini memulakan pembinaan CLQ pertama untuk pekerja kilang di Kampung Baru Balakong – sebuah bangunan 15 tingkat dengan 598 unit yang mampu menempatkan 3,600 pekerja.

Katanya, CLQ akan menyediakan kemudahan tambahan untuk pekerja termasuk klinik, pasar raya, dewan serbaguna, tempat letak bas, pagar perimeter dan anggota keselamatan.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Putrajaya harus bekerjasama rapat bagi mengenal pasti cara memberi insentif untuk inisiatif ini dalam sektor swasta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.