Beri latihan amalan hak asasi kepada agensi, bukan sebat PATI, kata Ahli Parlimen

Beri latihan amalan hak asasi kepada agensi, bukan sebat PATI, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mengkritik cadangan seorang pegawai polis kanan supaya hukuman sebat dikenakan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan kesalahan berulang.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata, hukuman sebatan adalah kejam yang boleh menjatuhkan maruah.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengadakan latihan amalan hak asasi manusia untuk pegawai penguat kuasa.

Ia susulan cadangan yang dikemukakan oleh seorang pegawai kanan polis supaya kerajaan mempertimbangkan hukuman sebat terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan kesalahan berulang dengan masuk ke negara ini secara haram.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata, latihan itu perlu bagi memastikan pegawai agensi terbabit seperti polis dan Jabatan Imigresen mematuhi norma hak asasi dan standard antarabangsa ketika melaksanakan tugas.

Katanya, ia juga dapat mengelakkan mereka daripada mengeluarkan kenyataan remeh seperti mengenakan hukuman kejam dan kuno terhadap PATI.

Kok mengkritik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Hazani Ghazali yang dilaporkan berkata, pendatang asing tanpa dokumen yang melakukan kesalahan berulang dengan masuk ke negara ini harus dikenakan hukuman sebat.

“Penjawat awam kanan dan pegawai polis diingatkan bahawa hukuman sebat dilihat sebagai tindakan kejam yang menjatuhkan maruah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Ramai pendatang haram yang masuk ke Malaysia adalah golongan miskin dari negara jiran yang cuba mencari pekerjaan di sini. Cadangan yang tidak sensitif seperti itu hanya akan menjejaskan hubungan dengan negara jiran.”

Beliau mengingatkan Hazani bahawa terdapat juga rakyat Malaysia yang miskin cuba mencari pekerjaan di luar negara dan tinggal melebihi tempoh.

“Bagaimana perasaannya jika hukuman sebat dikenakan terhadap rakyat Malaysia ini?” soalnya.

Kok turut mempersoalkan sama ada cadangan hukuman sebat itu juga terpakai kepada “pegawai penguat kuasa licik” yang gagal melaksanakan tugas menghalang kemasukan pendatang ke negara ini serta penjawat awam yang membantu dan bersubahat menyeludup pendatang.

Hazani turut dilaporkan berkata, hukuman sebat itu “untuk memberi pengajaran” kepada pesalah berulang.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan (NSI) Adrian Pereira mengkritik kenyataan itu sambil menyifatkannya tidak berperikemanusiaan dan tidak memberi makna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.