Samun ‘rider’ bersenjatakan parang, 2 lelaki warga asing diburu polis

Samun ‘rider’ bersenjatakan parang, 2 lelaki warga asing diburu polis

Mangsa yang juga penghantar makanan kehilangan gelang emas bernilai RM1,800 ketika dalam perjalanan membuat penghantaran makanan kepada pelanggan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib, berkata suspek dipercayai memiliki parang yang disembunyikan dalam bajunya, berbadan kurus dan menaiki motosikal Yamaha LC berwarna merah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua lelaki bersenjatakan parang dipercayai warga asing bertindak menyamun seorang penghantar makanan dalam kejadian di Jalan 25/30, Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib, berkata dalam kejadian itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan membuat penghantaran makanan kepada pelanggan.

“Ketika kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, suspek menarik gelang emas di tangan mangsa wanita yang menunggang motosikal seorang diri.

“Siasatan mendapati, mangsa tidak dicederakan oleh suspek cuma terdapat sedikit kesan calar pada tangan kerana suspek menarik gelang itu.

“Susulan kejadian itu, mangsa yang berumur 29 tahun membuat laporan polis pada jam 10.03 pagi tadi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Baharudin berkata, siasatan mendapati, gelang tangan emas berkenaan dianggarkan bernilai RM1,800.

“Suspek disyaki warganegara Indonesia, berbadan kurus menaiki motosikal Yamaha LC warna merah memakai topi keledar masing-masing warna biru dan merah.

“Suspek juga dipercayai memiliki parang yang disembunyikan di dalam bajunya. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, polis sedang memburu suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini, boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Roshaza di talian 03-55202222,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.