
Lelaki berusia 30 tahun itu menghidap penyakit palsi serebrum (cerebral palsy), yang menjejaskan keupayaannya untuk bergerak dan mengekalkan keseimbangan dan postur. Hampir mustahil baginya melakukan perkara-perkara yang dianggap biasa bagi orang lain.
Yatim piatu sejak kecil, beliau terpaksa menyara dirinya dan berazam untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya.
“Saya tak mahu bergantung pada belas kasihan orang untuk hidup. Saya mahu cari rezeki saya sendiri,” katanya kepada FMT.
Namun kini, beliau dituduh tidak jujur ketika menjual biskut dalam talian, dakwaan yang tegas dinafikannya.

Kelewatan menyempurnakan tempahan menyebabkan segelintir pelanggan tidak berpuas hati, malah ada yang mengancam untuk melaporkannya kepada polis. Ada juga di media sosial yang melabelnya sebagai penipu.
“Hancur hati saya apabila mengenangkan tuduhan mereka, rasa hendak menangis,” katanya.
Cheng beralih kepada kerja dalam talian apabila wabak Covid-19 melanda. Beliau bekerja sebagai pengurus di sebuah pusat urut di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, sebelum beralih menjual pelitup muka dalam talian apabila permintaan meningkat semasa wabak.
Tahun lepas, beliau mula menjual snek dalam talian, membungkus semula biskut cip coklat, kerepek kentang berperisa dan lain-lain. Beliau menjalankan perniagaannya, Daniel Beeskut, dari rumah sewanya dan kadangkala membuka gerai menjualnya di pasar-pasar dan pusat beli-belah.
“Saya dapat bekalan dari sebuah kilang di Shah Alam,” katanya.
“Semua produk yang saya jual adalah halal kerana saya juga ingin memenuhi keperluan pelanggan beragama Islam.”
Cheng mengendalikan sendiri perniagaannya di setiap peringkat, daripada mempromosikan produk dalam talian, menerima tempahan, berurusan dengan pelanggan, dan memastikan tempahan dihantar dengan segera dan selamat.
Bukan mudah baginya untuk menjalankan perniagaan bersendirian, dan kadangkala, timbul beberapa isu.
“Akibat penyakit yang saya hidapi, saya hanya boleh menggunakan satu tangan, dan ini melambatkan perniagaan saya,” katanya.
“Membungkus tempahan boleh menjadi sangat sukar bagi saya dan kadang-kadang saya ketinggalan.”

Beliau berterima kasih kepada semua individu yang menyokongnya.
Penyokong terbesarnya mungkin adalah rakan baiknya Fathullah Idris, yang kadangkala menemaninya menghantar tempahan kepada pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
“Beliau membantu saya ke mana-mana dan memastikan saya makan dua kali sehari. Saya bertuah kerana mempunyai kawan rapat sepertinya,” kata Cheng.
Sokongan rakan dan pelanggan sangat bermakna bagi Cheng dalam usahanya membina perniagaan yang berjaya dan hidup berdikari.
Anda boleh membuat tempahan snek dijual Cheng menerusi WhatsApp di talian +60122118379 atau ikutinya di Instagram , Facebook , atau Twitter.